
Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia menyifatkan dakwaan Faiz bahawa “kartel” mempunyai pengaruh ke atas pemilihan calon tidak munasabah.
Isnin lalu, Faiz, bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu keluar parti selepas mengkritik pemilihan calon PRN dengan mendakwa sebahagian daripada “kartel” dan yang lain merupakan “calon bidan terjun”.
Istilah “kartel” lazimnya digunakan untuk merujuk mereka yang sehaluan dengan Azmin semasa beliau menjadi timbalan presiden PKR.
Fauzi berkata, kemunculan budaya “kartel” dalam Bersatu bukan di luar jangkaan.
“Ketika Anwar di penjara, Azminlah yang mengekalkan pucuk pimpinan dan akar umbi PKR bersama dengan kemahiran penganjuran dan perkaderannya,” katanya sambil menambah ini menyebabkan Azmin mempunyai pengaruh besar dalam parti.
Fauzi berkata, ia “hanya menunggu masa” Azmin akan mempunyai pengaruh sama dalam Bersatu, selepas beliau dan pengikutnya menyertai parti itu pada 2020.
Tiada kartel dalam Bersatu
Ahli MPT Bersatu, Redzuan Yusof menafikan dakwaan Faiz berhubung “kartel” dalam parti itu.
“Ia serangan murah oleh Faiz. Kalau ada kartel, kenapa sebelum ini dia tak cakap apa-apa? Kartel tidak muncul dalam sekelip mata,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, pemilihan calon dibuat pucuk pimpinan parti, bukannya hanya seorang menentukannya.
Katanya, jika Faiz tidak berpuas hati dengan hala tuju parti atau pemilihan calon, beliau boleh menggunakan saluran parti untuk menyuarakan rungutan, bukannya keluar parti.
“Apa pun, jika ada yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti, mereka sentiasa boleh mencabar pemimpin penyandang dalam pemilihan parti, kami tidak menghalang sesiapa daripada bertanding mana-mana jawatan.”