Wanita, 3 budak cedera MPV bertembung kereta kebal

Wanita, 3 budak cedera MPV bertembung kereta kebal

Rawatan awal diberikan kepada semua mangsa cedera sebelum dihantar ke Hospital Kota Tinggi dan dua anggota dalam kereta kebal tidak cedera.

Keadaan Honda Odyssey selepas terbabit dalam nahas dengan sebuah kereta kebal di Kota Tinggi semalam. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Seorang wanita dan tiga kanak-kanak lelaki cedera selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta kebal milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di jalan menghala Taman Damai sebelum Punggai, di Kota Tinggi semalam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai, Deddy Borhan Umaali berkata, 15 anggota termasuk dari BBP Sungai Rengit bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 8.28 malam.

Beliau berkata, wanita berusia 54 tahun bersama tiga kanak-kanak lelaki berusia tujuh, lima dan empat tahun menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Odyssey.

Katanya, kereta kebal yang dalam perjalanan balik ke kem Teluk Sepang dipercayai berlanggar dengan MPV itu.

“Bagaimanapun, wanita dan tiga kanak-kanak terbabit tidak tersepit dalam kenderaan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, rawatan awal diberikan kepada semua mangsa cedera sebelum dihantar ke Hospital Kota Tinggi dan dua anggota dalam kereta kebal itu tidak cedera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.