Penyokong yakin PN mampu tawan Negeri Sembilan hasil peralihan undi

Penyokong yakin PN mampu tawan Negeri Sembilan hasil peralihan undi

Penyokong PN mendakwa ramai dalam kalangan akar umbi PH dan BN mula menunjukkan sokongan kepada PN di negeri itu.

Penyokong mendakwa walaupun pada PRU15 PN kurang mendapat sokongan pengundi di negeri itu, keadaan sudah berubah.
SEREMBAN:
Seorang ahli akar umbi Perikatan Nasional (PN) berkata, parti itu mempunyai peluang untuk menang di Negeri Sembilan, mendakwa akan berlakunya peralihan sokongan penyokong Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) kepada gabungan itu.
Mad Redza.

Ahli berkenaan yang hanya ingin dikenali sebagai Mad Redza berkata, walaupun pada PRU15 PN kurang mendapat sokongan pengundi di negeri itu, keadaan sudah berubah.

Beliau juga mendakwa, ramai dalam kalangan akar umbi PH dan BN mula menunjukkan sokongan kepada PN dengan menghulurkan bantuan kepada gabungan itu, khususnya di Rantau, kerana kecewa atas kerjasama dua gabungan itu membentuk kerajaan perpaduan.

“Sekarang ini, tiba-tiba wujud macam-macam bilik gerakan. Apabila kita siasat balik, memang geng BN-PH sudah buka sendiri bilik gerakan untuk PN.

“Kita anggap tsunami tidak sebesar macam di Utara dan Pantai Timur…. tetapi kita jangka berlaku persaingan hebat di Negeri Sembilan,” katanya kepada FMT.

Pada PRU15, PN bertanding di semua lapan kerusi Parlimen di Negeri Sembilan, namun kalah kesemuanya. PN turut gagal memenangi mana-mana kerusi DUN mahupun Parlimen di negeri itu pada PRU14.

Selepas PRU15, PH dan BN membentuk kerajaan perpaduan bersama Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah selepas tiada parti memperoleh majoriti mudah.

Mohd Katirul Simen.

Dalam pada itu, seorang penyokong PN di Kuala Pilah, Mohd Katirul Simen berkata, sokongan terhadap gabungan itu dijangka meningkat berdasarkan respons terhadap isu-isu semasa yang tidak ditangani kerajaan perpaduan.

Isu seperti kenaikan harga barangan dan pemimpin DAP membuat ucapan berkait 3R (agama, raja dan kaum) akan membawa kesan peralihan sokongan pengundi kepada PN, katanya.

“Peluang OK, boleh menang. Saya nampak (akan berlaku) ‘gelombang hijau’ (di Negeri Sembilan),’ katanya.

Azman Abdul Majid.

Seorang lagi penyokong PN daripada Bersatu, Azman Abdul Majid berkata, hakikat bahawa gabungan itu belum memilih calon menteri besar di Negeri Sembilan jika menang pada PRN nanti bukanlah suatu isu besar.

“Tidak calonkan (jawatan) menteri besar tak ada masalah. Bukan satu isu.

“Yang penting, menangkan DUN dulu, baru cadangkan ke (pimpinan) atas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.