
G Manimaran berkata, walaupun ahli akar umbi dikatakan sudah tawar hati dengan cara Putrajaya melayani mereka, krisis parti pimpinan SA Vigneswaran itu tidak seburuk seperti berlaku pada 80-an apabila hanya kelompok kecil bertindak keluar parti dan menyertai PN.
“Untuk mengatakan wujud gelombang tidak menyokong atau beralih dari BN-PH ke PN, saya rasa terlalu awal, atau mustahil berlaku. Mungkin hanya sedikit dalam 5-10% akan tukar cuba PN.
“Sebab dalam PN mereka masih bimbang dengan gelombang PAS, dasar-dasar PAS yang tidak menggembirakan dan meyakinkan bukan Islam dan bukan Melayu itu tinggi lagi,” katanya kepada FMT.
Manimaran mendakwa, walaupun beberapa pemimpin MIC termasuk Ketua Pemuda Selangor, P Punithan keluar parti bulan lalu dan menyertai Jawatankuasa Masyarakat India PN, tidak ramai mengikut jejak langkah mereka.
“Untuk kata MIC berpecah tak serius macam 20-30 tahun lepas, perpecahan itu tidak seburuk dulu. Perpecahan hanya melibatkan kelompok kecil kemudian yang keluar daripada MIC pun tak ramai setakat ini.
“Semasa Punithan keluar hanya sebahagian kecil, sangat-sangat kecil yang keluar MIC,” katanya.
Beliau berkata, luka dalaman MIC juga dalam “proses penyembuhan” selepas ada campur tangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sejak minggu lalu.
“Selepas Anwar pergi ke bangunan MIC seminggu lepas, depan Anwar…Vigneswaran minta ahli balik gerakkan jentera dan menyokong calon PH-BN bawah blok kerajaan perpaduan.”
Manimaran bagaimanapun tidak menolak wujud kelompok yang tidak akan keluar mengundi khususnya pengundi luar kawasan dalam kalangan masyarakat India.
“Parti saya tak bertanding buat apa saya nak pergi mengundi? Ini persoalan (berlegar dalam kalangan pengundi India).
“Kalau saya keluar mengundi, nak undi Umno, tiada apa, tak menghargai…untuk (undi) PH, itu bukan parti saya. PN pula parti yang bukan sinonim dengan saya. semua faktor ini akan wujud,” katanya.
Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berpandangan peralihan undi kaum India hanya akan berlaku daripada BN kepada PN, sementara sokongan masyarakat tersebut terhadap PH khususnya PKR dan DAP masih teguh.
“Kalau berlaku pun peralihan undi kaum India saya tak jangka ia berlaku daripada PH ke PN tetapi BN ke PN tetapi jumlah peralihan ini tidak boleh dianggap sebagai gelombang,” katanya.