Mahkamah Persekutuan tolak rayuan Laidlaw wakili Najib

Mahkamah Persekutuan tolak rayuan Laidlaw wakili Najib

Hakim Zabariah Yusof berkata tiada isu hendak diputuskan berikutan rayuan dan semakan Najib Razak terhadap kes SRC International telah dilupuskan.

Rayuan Jonathan Laidlaw untuk mewakili Najib Razak ditolak kerana Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan berhubung hukuman kes SRC International.
PUTRAJAYA:
Majlis Peguam Malaysia dan tiga yang lain berjaya mengenepikan rayuan peguam UK Jonathan Laidlaw untuk mewakili Najib Razak dalam rayuan kes SRC Internationalnya.

Ketika menyampaikan keputusan Mahkamah Persekutuan, Hakim Zabariah Yusof berkata pihaknya berpendapat tiada isu hendak diputuskan berikutan rayuan dan semakan Najib terhadap kes itu telah dilupuskan.

Peguam Diraja dari UK itu memohon untuk bertindak sebagai peguam utama dalam rayuan akhir SRC International bekas perdana menteri itu. Beliau dikatakan pakar dalam undang-undang jenayah perniagaan dan kewangan.

Majlis Peguam berkata, rayuan Laidlaw menjadi akademik selepas Mahkamah Persekutuan mendengar dan melupuskan rayuan terakhir Najib daripada sabitan serta hukumannya pada Ogos 2022.

Pada 21 Julai 2022, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Laidlaw dan berkata beliau tidak memenuhi syarat kemasukan ad hoc di bawah Akta Profesion Undang-undang 1976.

Sebulan kemudian, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan Najib dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi pada 2020 atas penyalahgunaan kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang membabitkan dana SRC International.

Selepas itu, Najib memfailkan usul memohon kebenaran menyemak keputusan itu atas alasan mahkamah melanggar prinsip keadilan asasi, termasuk haknya untuk mendapat perbicaraan adil dan peguam.

Satu lagi panel Mahkamah Persekutuan, dengan majoriti 4-1, menolak permohonan bekas perdana menteri itu pada Mac tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.