
Hakim Zabariah Mohd Yusof mengumumkan penolakan terhadap permohonan Laidlaw mengetepikan Hakim Nordin Hassan dan Abu Bakar Jais daripada mendengar rayuan Laidlaw.
Katanya, mahkamah akan terus mendengar permohonan Majlis Peguam dan Jawatankuasa Peguam Kuala Lumpur untuk membatalkan rayuan Laidlaw atas alasan ia bersifat akademik.
Peguam Diraja dari UK itu memohon untuk bertindak sebagai peguam utama dalam rayuan akhir SRC International bekas perdana menteri itu. Beliau dikatakan pakar dalam undang-undang jenayah perniagaan dan kewangan.
Majlis Peguam berkata, rayuan Laidlaw menjadi akademik selepas Mahkamah Persekutuan mendengar dan melupuskan rayuan terakhir Najib daripada sabitan serta hukumannya pada Ogos 2022.
Pada 21 Julai 2022, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Laidlaw dengan berkata beliau tidak memenuhi syarat kemasukan ad hoc di bawah Akta Profesion Undang-undang 1976.
Sebulan kemudian, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan Najib dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi pada 2020 atas penyalahgunaan kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang membabitkan dana SRC International.
Selepas itu, Najib memfailkan usul memohon kebenaran menyemak keputusan itu atas alasan mahkamah melanggar prinsip keadilan asasi, termasuk haknya untuk mendapat perbicaraan adil dan peguam.
Satu lagi panel Mahkamah Persekutuan, dengan majoriti 4-1, menolak permohonan bekas perdana menteri itu pada Mac tahun ini.
Terdahulu, Shafee Abdullah yang mewakili Laidlaw mahu mengetepikan Nordin dan Abu Bakar atas alasan mereka mendengar permohonan Najib untuk mahkamah tertinggi itu menyemak sabitan serta hukumannya awal tahun ini.
Shafee berkata, semakan itu menyentuh beberapa isu berkaitan rayuan sekarang.
Katanya, semasa perbicaraan permohonan kebenaran itu, Nordin menyifatkan dakwaannya bahawa peguam terdahulu Najib tidak mendapat persetujuan bekas perdana menteri untuk meninggalkan rayuan Laidlaw sebagai “tuduhan sangat serius”, manakala Abu Bakar menyifatkan ia “tidak rasional”.
Kedua-dua hakim bagaimanapun menafikan kenyataan itu dikaitkan dengan mereka.
Peguam, V Sithambaram yang mengetuai pendakwaan SRC International, memberitahu mahkamah dalam surat ditulis pasukan peguam Laidlaw awal tahun ini, peguamnya hanya meminta hakim mendengar rayuan utama SRC International dikecualikan daripada panel mendengar rayuan kemasukannya.
“Ia bertentangan dengan apa mereka katakan hari ini.”