GEG: Calon PN seru kerajaan tingkat sesi libat urus bersama peniaga

GEG: Calon PN seru kerajaan tingkat sesi libat urus bersama peniaga

Beliau berkata penglibatan dengan pihak berkepentingan penting untuk kejayaan pelaksanaan undang-undang itu.

Wakil Persatuan Kedai Kopi dan Restoran Selangor Norhazi Ismail (kanan) menyerahkan memorandum kepada Dr Afif Bahardin di Kafe Tingkap hari ini.
PETALING JAYA:
Calon Perikatan Nasional (PN) Taman Medan Dr Afif Bahardin menggesa lebih banyak libat urus antara Putrajaya dan pihak berkepentingan berhubung pengenalan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 , yang juga dikenali sebagai RUU Generasi Penamat atau Generation End Game (GEG).

Afif berkata penglibatan sedemikian penting untuk kejayaan pelaksanaan undang-undang itu, tanpanya ia “hanya kekal sebagai undang-undang di atas kertas” tanpa sokongan dan pelaksanaan sukarela oleh masyarakat.

“Di sinilah pendekatan harus berbeza daripada cara kementerian kesihatan melakukannya pada masa ini. Ia tidak mencukupi, lebih banyak (libat urus) perlu dilakukan sebelum polisi seperti itu diperkenalkan,” katanya kepada pemberita di Kafe Tingkap.

Persatuan Kedai Kopi dan Restoran Selangor hari ini menyerahkan memorandum kepada Afif, menuntut kerajaan mengadakan dialog terbuka dengan peruncit untuk lebih memahami impak polisi tersebut, termasuk RUU GEG.

Afif menggunakan pengalamannya sebagai Exco kesihatan, pertanian dan pembangunan luar bandar Pulau Pinang dalam pengenalan inisiatif zon bebas asap rokok negeri.

“Kami mempunyai banyak penglibatan pada masa itu dengan pemilik perniagaan tentang bagaimana kami akan mencapai dan melaksanakan inisiatif itu,” katanya sambil menambah bahawa ia bertujuan memperkasakan komuniti apabila mendapat sokongan mereka.

“Untuk mencapai tahap itu, banyak penglibatan perlu dilakukan. Jadi, Kementerian Kesihatan perlu memainkan peranan lebih besar dalam mendidik orang ramai, masyarakat dan pemilik perniagaan tentang mengapa penting untuk melaksanakan dasar tersebut,” kata Afif.

Afif sebelum ini berkhidmat sebagai ADUN Seberang Jaya di bawah PKR selama dua penggal mulai Mei 2013 dan Exco kesihatan, pertanian dan pembangunan luar bandar di bawah kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Pada 12 Jun, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa memberitahu Dewan Rakyat bahawa draf Rang Undang-undang GEG, yang melarang penggunaan, pembelian dan penjualan rokok dan produk vape kepada mereka yang lahir selepas 2007, sekali lagi dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Kesihatan.

Beliau berkata seminggu sebelum itu ahli PSC, anggota PSC, Ahli Parlimen, badan profesional dan NGO telah menuntut beberapa perkara di bawah rang undang-undang itu dikaji semula semasa sesi libat urus minggu lepas.

Penasihat khas menteri kesihatan yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii, berkata tiada garis masa ditetapkan untuk pembentangan RUU GEG untuk bacaan kali kedua di Parlimen.

Afif menegaskan keperluan untuk ketelusan, termasuk mengenai garis masa yang terlibat untuk pelaksanaan undang-undang baharu itu.

“Jika anda tidak boleh telus mengenainya, maka anda tidak akan dapat memberikan jangka masa jelas bila ia akan (dilaksanakan), dan apakah langkah seterusnya dan prosesnya.

“Di situlah anda (akan) gagal mendapat sokongan daripada orang ramai,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.