13 dari 15 kes rabies di Sarawak libat kematian

13 dari 15 kes rabies di Sarawak libat kematian

Kes kematian itu direkodkan bermula Januari hingga 7 Ogos.

Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Ooi Choo Huck, berkata jumlah kes dalam tempoh itu menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 87.5%. (Gambar Fail)
KUCHING:
Sebanyak 15 kes jangkitan rabies dalam kalangan manusia dilaporkan di Sarawak sejak 1 Jan hingga 7 Ogos dengan 13 daripadanya menyebabkan kematian.

Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Ooi Choo Huck, berkata jumlah kes dalam tempoh itu menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 87.5% berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu tujuh kes dilaporkan.

“Kumulatif kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak yang dilaporkan semenjak wabak diisytiharkan pada Julai 2017 sehingga kini adalah sebanyak 70 kes dengan 63 kematian,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, daripada keseluruhan jumlah kes setakat tahun ini, lima daripadanya dilaporkan di Bahagian Sibu, Bahagian Serian (empat), Bahagian Kuching (tiga), Bahagian Bintulu (dua), dan satu kes di Bahagian Samarahan.

“Sebanyak 11 kes yang dilaporkan pada tahun ini mempunyai sejarah digigit anjing, dua kes mempunyai sejarah digigit atau dicakar kucing, manakala dua kes tidak mempunyai sejarah pendedahan yang jelas,” katanya.

Ooi berkata, untuk kes yang mempunyai sejarah gigitan anjing dan cakaran kucing, sebanyak lapan kes atau 61.54% didapati tidak mendapatkan rawatan dari mana-mana fasiliti kesihatan selepas digigit atau dicakar oleh haiwan berkaitan.

Susulan peningkatan kes rabies ini, beliau meminta orang ramai mengambil langkah pencegahan dan klinik pascagigitan juga telah ditubuhkan di 64 kemudahan kesihatan awam dan 29 fasiliti swasta di seluruh negeri itu, selain 11 hospital untuk memberikan suntikan Rabies Immunoglobulin.

Beliau meminta sesiapa yang digigit, dicakar haiwan atau terkena air liur haiwan yang disyaki dijangkiti rabies agar segera mencuci bahagian badan mereka yang terkesan dengan air yang mengalir dan mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat.

Menurutnya, rabies merupakan penyakit sistem saraf yang disebabkan oleh jangkitan virus rabies yang terdapat dalam air liur haiwan yang dijangkiti dan manusia terdedah kepada jangkitan rabies melalui gigitan atau kontak langsung dengan air liur haiwan yang dijangkiti.

“(Jangkitan berlaku) sama ada melalui luka atau lapisan mukosa tubuh. Ini termasuklah kesan cakar oleh kucing peliharaan atau kucing liar (dan) boleh menyebabkan kematian sekiranya jangkitan itu (dalam kalangan manusia) merebak ke otak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.