Penduduk Juasseh ‘geram’ internet perlahan

Penduduk Juasseh ‘geram’ internet perlahan

Penduduk mahu perkhidmatan itu dinaik taraf supaya mereka menikmati kelajuan internet sama dengan masyarakat di bandar.

UiTM Kuala Pilah menjadi institusi pendidikan pertama dipasang peranti satelit Starlink untuk mengatasi masalah internet di kawasan itu. (Gambar Twitter)
KUALA PILAH:
Kelajuan internet terhad menyebabkan penduduk di DUN Juasseh sukar menjalankan urusan seperti pendidikan dan perniagaan dalam talian yang menjadi sebahagian kehidupan masa kini.

Sehubungan itu, mereka menggesa pihak berkuasa melihat permasalahan itu dan mahu mereka menikmati kelajuan internet yang sama dengan masyarakat di bandar.

Pada 27 Julai lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyerahkan unit pertama peranti satelit Starlink bagi kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kuala Pilah, tidak berapa lama selepas kerajaan bersetuju membelinya hasil perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Elon Musk.

Noor Khamsinar Sinan.

Siti Noor Khamsinar Sinan, 33 berkata anak muda sekarang banyak menggunakan internet untuk urusan kerja seperti perniagaan dalam talian, tempahan makanan, pendidikan dan media sosial.

“Kalau boleh naik taraf kemudahan di sini pun bagus supaya dapat berniaga ‘online’ macam orang di bandar.

“Internet ini banyak manfaat khusus kepada orang muda masa ini,” katanya kepada FMT.

Nurhanim Mohd Zali.

Turut senada dengannya Nurhanim Mohd Zali, 34, yang mahu kemudahan itu dinaik taraf supaya penduduk dapat melayari internet dengan lebih lancar.

“Sudah lama tak dinaik taraf, tak laju dan tak semua kawasan dapat capaian internet,” katanya yang berharap pihak berkuasa mencari penyelesaian segera.

Adnan Abu Hassan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Pilah Adnan Abu Hassan berkata antara kawasan mengalami masalah itu adalah dari Juasseh sehingga ke sempadan Bukit Putus.

Menurutnya, beliau telah bertemu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan “memujuk” syarikat telekomunikasi meletakkan peranti dan pemancarnya di menara telah dibina.

“Setakat ini TM telah bantu Kuala Pilah dengan meluaskan liputan, kita perlu pembabitan syarikat lain juga untuk tingkat capaian internet,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.