Panas melampau di Seoul, jambori pengakap Malaysia selamat

Panas melampau di Seoul, jambori pengakap Malaysia selamat

Menurut laporan antarabangsa pada Ahad, beratus-ratus pengakap yang menyertai acara itu jatuh sakit, ekoran cuaca panas mencecah 35 darjah celcius.

Cuaca panas mencecah 35 darjah celcius menyebabkan ratusan pengakap yang menyertai 25th World Scout Jamboree di Seoul jatuh sakit. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Semua 499 ahli kontinjen Malaysia terdiri daripada pengakap, guru pengiring dan pasukan sokongan yang menyertai 25th World Scout Jamboree bermula 1 hingga 12 Ogos di Seoul, Korea Selatan, dilaporkan berada dalam keadaan selamat susulan cuaca panas agak melampau di Saemangeum.

Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Seoul mengesahkan perkara itu menerusi kenyataan hari ini.

“Menurut laporan awal, empat orang daripada kontinjen Malaysia mengalami masalah kesihatan seperti pening kepala, demam serta ruam. Semua mereka dilaporkan mendapat rawatan sewajarnya,” menurut kenyataan itu.

Kedutaan Besar Malaysia di Seoul akan terus berhubung rapat dengan wakil kontinjen Malaysia dan pihak penganjur untuk mendapatkan perkembangan semasa.

Rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Seoul di alamat berikut; Kedutaan Besar Malaysia di Seoul – 129, Dokseodang-ro (Hannam-dong) Yongsan-gu, Seoul 04419 atau talian telefon (+822 2077-8600) dan alamat email ([email protected]).

Menurut laporan antarabangsa pada Ahad, beratus-ratus pengakap yang menyertai acara itu jatuh sakit, ekoran cuaca panas mencecah 35 darjah celcius.

Persatuan Pengakap mengesahkan kontinjen Britain seramai 4,500 orang sedang dipindahkan dari tapak perkhemahan di Saemangeum ke Seoul.

Pasukan Amerika Syarikat dan Singapura juga bertindak mengosongkan tapak berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.