
“(Dengan 23 kerusi di Dewan Rakyat), GPS boleh merangka haluannya dan terbabit dalam rundingan berkesan,” kata Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya kepada FMT.
“Ini menunjukkan kekuatan dan pengaruh GPS semakin berkembang, khasnya terhadap kerajaan persekutuan.”
Beliau berkata, perkembangan itu juga menunjukkan kesediaan Putrajaya menyokong inisiatif Sarawak.
“Ini menunjukkan pentadbiran sekarang lebih memahami apa berlaku di Sarawak berbanding pentadbiran terdahulu.”
Tetapi, Awang Azman memberi amaran pengaruh berlebihan GPS mungkin mengundang perhatian tidak wajar terhadap tuntutan mereka dan berpotensi melemahkan semak dan imbang.
“Sebagai contoh, (mungkin ada) projek diawasi kerajaan negeri yang dilihat membazir, tetapi kritikan (daripada Putrajaya) mungkin kurang agresif kerana bimbang hubungan mereka akan renggang.”
Rabu lalu, Premier Sarawak, Abang Johari Openg dilaporkan berkata, negeri itu menyasarkan untuk menyelesaikan tiga pengambilalihan tahun ini.
Dua daripadanya membabitkan Pelabuhan Bintulu dan MASwings Sdn Bhd, manakala yang ketiga belum didedahkan.
James Chin dari Universiti Tasmania berkata, pengumuman itu walaupun bukan perkara baharu, ia sengaja dibangkitkan sebagai peringatan GPS mempunyai kuasa besar dalam kerajaan persekutuan.
“Beliau (Abang Jo) cuba mengukuhkan pandangan popular bahawa GPS (akan menjadi) sangat berkuasa dan mereka boleh lakukan apa yang mahu dengan kerajaan persekutuan dari segi mendapatkan lebih banyak autonomi untuk Sarawak.”
Katanya, mungkin ada hasil positif untuk negeri jirannya, Sabah.
“Berita baik buat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ialah apa saja konsesi diberikan kepada Sarawak, rakyat Sabah boleh meminta perkara sama.”