
Pada hari pengundian Sabtu ini, sayap bersekutu Bersatu mempunyai 10 calon Cina dan enam calon India, termasuk seorang bekas ahli MCA, yang bertanding di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Goh Gaik Meng, bekas ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda MCA yang kini calon Perikatan Nasional (PN) untuk kerusi Sekinchan di Selangor, memberitahu Malaysiakini beliau yakin boleh meraih undi daripada ahli MCA dengan mengambil kira latar belakangnya.
James Chin dari Universiti Tasmania berkata, tidak ramai orang Cina akan mempertimbangkan untuk menyertai sayap bersekutu Bersatu kerana tidak dapat menjadi ahli penuh dengan hak dan manfaat sama.
“Mereka yang berbuat demikian tentunya akan diberikan manfaat seperti bertanding sebagai calon dan sebagainya, tetapi difahamkan juga tiada seorang pun daripada mereka yang akan menang.
“Mereka hanya dipilih bertanding di sana sebagai hiasan supaya Bersatu boleh mendakwa PN berbilang kaum. Saya akan katakan majoriti daripada mereka akan hilang deposit mereka.”
Chin berkata, ini walaupun terdapat laporan terbaharu mengenai ahli MIC menyertai PN. Bulan lalu, PN Selangor menyatakan sejumlah ahli MIC keluar parti untuk menyokong gabungan itu.
Antaranya, bekas ketua Pemuda MIC Selangor P Punithan, yang dilantik timbalan pengerusi Jawatankuasa Komuniti India PN – ditubuhkan untuk orang India menyuarakan pandangan dan isu mereka dalam gabungan itu.
Berhubung dakwaan Goh, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara merasakan ahli politik Cina tidak mahu menyertai sayap bersekutu Bersatu berdasarkan nasib Gerakan dalam PN kerana mereka “tidak boleh berbuat apa-apa” dengan Bersatu atau PAS.
Sebaliknya, Azmi berkata, ahli politik Cina yang mahu mengukir nama perlu menyokong DAP, sebagai kuasa utama dalam Pakatan Harapan.
“Saya tidak fikir naratif ditunjukkan calon ini (Goh) mampu meraih sokongan pengundi Cina. Saya rasa lebih baik orang Cina menyokong DAP kerana ia dominan dalam PH.
“Lihatlah Gerakan. Mereka diberikan kerusi yang tidak boleh dimenangi, kecuali Bayan Lepas (Dominic Lau).
“Tetapi, sebagai sebuah parti, mereka begitu patuh, pendiam dan tunduk kepada Bersatu serta PAS. Jadi, apa lagi boleh dilakukan jika orang Cina menyertai Bersatu sebagai ahli bersekutu?”
Minggu lalu, Lau diminta meninggalkan ceramah PN di Sungai Dua, Pulau Pinang, selepas hadir tanpa diundang.
Video Malaysiakini menunjukkan Lau dihalang Setiausaha PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim daripada mengikuti Naib Presiden PAS, Idris Ahmad ke atas pentas.
PAS kemudiannya memohon maaf, yang diterima Lau.
Bagaimanapun, insiden itu dikritik Ahli Parlimen DAP yang berkata, dakwaan berulang PAS untuk menjadi inklusif diragui.