
“Sejak merdeka, Umno membuktikan ia parti baik. Kita tidak boleh melabelkan mereka parti teruk hanya disebabkan beberapa pemimpin,” kata Ketua Amanah Selangor, Izham Hashim kepada FMT.
“Kita tidak boleh menafikan sejarah dan kecemerlangan Umno. Ia mempunyai sejarah panjang menyumbang kepada negara.
“Sejak beberapa minggu lalu, kita bekerjasama rapat, apa yang boleh saya katakan ialah mereka amat berdisiplin. Sebab itu saya katakan ia parti Melayu terbaik,” kata calon Pakatan Harapan bagi kerusi Pandan.
Sebelum ini, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad yang juga pengkritik lantang Umno sebelum pembentukan kerajaan perpaduan, berkata Umno terbaik dalam kalangan tiga parti politik Melayu di negara ini.
Dalam perkembangan lain, Izham yakin pengundi Selangor akan menyokong gabungan perpaduan itu pada PRN 12 Ogos ini.
Ketika ini, katanya, penyokong PH lebih terbuka mengundi calon BN berbanding sebaliknya, walaupun masih ada masa untuk membetulkan keadaan.
“Saya yakin (akhirnya) penyokong Umno akan menyokong PH. Ada seminggu lagi untuk berkempen, saya yakin kita dapat meningkatkan peralihan undi.”
Beliau turut membidas Perikatan Nasional (PN) dengan mempersoalkan apa yang ditawarkan gabungan pembangkang itu kepada rakyat Selangor.
“Saya sentiasa tertanya-tanya apa rancangan PN dalam hal pembangunan.
“Mereka kata mahu memerintah Selangor, tetapi negeri yang mereka perintah sekarang bukan contoh baik (keupayaan pentadbiran mereka).”
Pengundi di Selangor dan lima negeri lain akan keluar mengundi Sabtu ini.