Tekong hilang, bot karam di perairan Pahang

Tekong hilang, bot karam di perairan Pahang

Dua lagi kru bot nelayan tempatan itu terselamat.

Operasi mencari dan menyelamat diaktifkan mulai 3.10 petang semalam, selepas Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim Kuantan menerima laporan dari IPD Pekan. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Seorang tekong warga Thailand dilaporkan hilang, manakala dua kru selamat, selepas bot nelayan tempatan dinaiki mereka karam di kedudukan 26.8 batu nautika perairan Kuala Pahang.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Pahang, Kamal Ariffin Jusoh berkata, kejadian itu didakwa berlaku 2 pagi Khamis lalu, tetapi pihaknya hanya dimaklumkan mengenainya petang semalam.

Mangsa hilang dikenal pasti sebagai Mat Riffin Awang Kecik, 66, manakala Sabudin Panoh, 51, dan Mohd Hafizi Awang Kecik, 30, kedua-duanya warga Thailand terselamat.

“Berdasarkan keterangan saksi selamat, bot itu terbalik selepas dipukul ombak, namun mereka sempat berpaut pada tong minyak sebelum diselamatkan bot nelayan pada 9 pagi hari sama, kira-kira 14 batu nautika dari lokasi kejadian.

“Mangsa hilang dilaporkan berada di anjungan bot semasa kejadian menyebabkan dua kru terlibat tidak pasti sama ada mangsa sempat terjun ke laut sebelum bot karam sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, semua mangsa difahamkan tidak memakai jaket keselamatan semasa kejadian.

Operasi mencari dan menyelamat diaktifkan mulai 3.10 petang semalam, selepas Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan menerima laporan dari IPD Pekan.

Operasi diteruskan hari ini dengan dibantu bot nelayan tempatan membabitkan keluasan sektor pencarian kira-kira 22.95 batu nautika persegi dengan pemantauan di sekitar lokasi bot karam.

Pihak mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Pahang 09-5717345 atau talian bantuan kecemasan MERS 999.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.