Siasat bayaran komisen terlampau tinggi p-hailing, Samenta beritahu kerajaan

Siasat bayaran komisen terlampau tinggi p-hailing, Samenta beritahu kerajaan

Gerai makanan sebagai contoh dikenakan bayaran komisen setinggi 32%.

Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta) Malaysia, berkata susulan bayaran komisen tinggi pengguna membayar 10 hingga 100% lebih apabila membeli di platform p-hailing.
KUALA LUMPUR:
Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta) Malaysia berharap kerajaan akan menyiasat mengapa industri p-hailing mengenakan bayaran komisen sehingga setinggi 32% kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) berbanding kadar yang lebih rendah di negara lain.

Presidennya, William Ng berkata , Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dijadualkan bertemu pemain industri p-hailing pada Selasa ini.

“Agenda utama adalah untuk mengetahui sama ada pemain p-hailing boleh membayar lebih tinggi kepada rakan penghantar mereka serta menyediakan kebajikan yang lebih baik agar tidak diambil kesempatan daripada separa monopoli ini.

“Sebenarnya bukan sahaja rakan penghantar yang mempunyai isu dengan syarikat-syarikat tersebut, tetapi banyak PKS turut terjejas dengan bayaran komisen yang melampau yang dikenakan oleh syarikat p-hailing.

“Sebagai contoh, gerai makanan yang ingin menyertai platform p-hailing perlu membayar komisen setinggi 32% kepada syarikat-syarikat tersebut,” kata Ng dalam kenyataan.

Selain itu, katanya, jika pemilik gerai ingin mengambil bahagian dalam “promosi” yang ditawarkan oleh pemilik platform, mereka perlu membayar komisen tambahan sehingga 30%, Jika tidak, gerai mereka akan kurang kelihatan di platform tersebut berbanding mereka yang membayar komisen tambahan tersebut.

Akibatnya, kebanyakan PKS tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga produk mereka di platform tersebut untuk menampung komisen tinggi, yang menyebabkan pengguna membayar antara 10 hingga 100% lebih apabila membeli melalui platform p-hailing berbanding membeli terus dari kedai, katanya.

“Atas alasan untuk menyokong inovasi dan menggalakkan pendigitalan dan e-dagang, pengendali p-hailing telah terlepas daripada kawal selia kerajaan, dan boleh dikatakan menganiaya dan memperhambakan industri yang kononnya disokongi oleh mereka.

“Apa yang mengejutkan bagi kebanyakan PKS adalah pengendali yang sama mengenakan bayaran komisen serendah 8% kepada pemilik restoran berantai yang lebih besar – menunjukkan bahawa syarikat-syarikat ini boleh mendapat keuntungan pada tahap komisen tersebut,” katanya.

Menurut Ng, di China, pengendali p-hailing, Meituan, mengenakan komisen maksimum 12% dan masih mencatatkan keuntungan.

“Dalam lawatan saya ke Vietnam baru-baru ini, saya mendapati Grab memberi subsidi yang besar kepada perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran makanan mereka.

“Sebagai contohnya, perjalanan sejauh 2km menaiki kereta di daerah 1 bandaraya Ho Chi Minh memakan belanja sebanyak 21,000 dong (kira-kira RM4) manakala perjalanan serupa dari Wisma Genting ke Menara Maybank di Kuala Lumpur menelan kos RM16 kerana adanya ‘surge pricing’ (lonjakan harga),” katanya.

Ng menegaskan adalah penting untuk kita menggalakkan pilihan dan persaingan dalam industri p-hailing.

“Jika ini tidak dapat dilakukan kerana sifat monopoli atau oligopoli industri tersebut, mungkin kita perlu memecahkan monopoli industri tersebut dengan mengehadkan keupayaan mereka untuk memberi perkhidmatan kepada pelbagai sektor industri atau mengehadkan komisen mereka melalui perundangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.