
Penduduk Seberang Jaya, Suraya (bukan nama sebenar), 47, berkata beliau bimbang rumah di sebahagian besar Pulau Pinang tidak mampu dimiliki oleh golongan belia di negeri itu.
Katanya, anak perempuannya yang berusia 20-an dan bekerja di sebuah hotel di bahagian pulau terpaksa membeli rumah di Bertam, Kepala Batas memandangkan harga rumah di Seberang Perai Utara lebih berpatutan.
“Saya harap calon yang bertanding di Seberang Jaya ada rancangan bawa masuk projek rumah mampu milik baharu di kawasan itu,” kata pemilik kedai makan itu kepada FMT.
Unit sedia ada sudah berusia lebih 20 tahun, tambahnya.
Edward John yang tinggal di Alma, Bukit Mertajam merungut tentang ketiadaan projek rumah bertanah mampu milik di Seberang Perai Tengah. Kawasan itu, katanya, mempunyai terlalu banyak projek pangsapuri yang mahal.
Dengan harga rumah sehingga RM300,000, John, yang akan mencecah usia 50 tahun tidak lama lagi, bimbang beliau mungkin tidak dapat memperoleh pinjaman untuk membiayai pembeliannya.
“Jika mana-mana parti bertanding boleh mencadangkan rancangan memperuntukkan tanah bagi projek perumahan bertanah mampu milik, saya pasti akan undi parti itu,” kata pekerja sektor swasta itu kepada FMT.
Eksekutif insurans, V Krishnan, 29, mengiktiraf kerajaan negeri sedang membina projek rumah mampu milik tetapi katanya, proses permohonan untuk mendapatkan sebuah unit memakan masa.
“Saya rasa parti-parti yang bertanding harus meneliti isu ini,” katanya kepada FMT.
Pada April, Bernama melaporkan Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan sebagai berkata, terdapat 3,593 unit hartanah tidak terjual di Pulau Pinang bernilai RM2.74 bilion, ketiga tertinggi di negara dari segi bilangan dan nilai selepas Johor (5,258 unit bernilai RM4.33 bilion) dan Selangor (3,698 unit bernilai RM2.74 bilion).
Manifesto gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk PRN Pulau Pinang, yang dilancarkan pada 1 Ogos, berjanji membina 220,000 unit rumah mampu milik.
Daripada jumlah tersebut, sehingga 100,000 unit akan ditawarkan melalui skim “Rumah Mampu Milik B40” pada harga antara RM100,000 dan RM150,000, manakala 22,000 unit lagi akan tersedia bagi disewa untuk dimiliki menjelang 2030.
Lalu lintas sesak, harga barangan naik
Sementara itu, penduduk Taman Kota Permai, Jason Loh, 27, yang berulang-alik setiap hari ke kawasan perindustrian Perai untuk bekerja berkata, beliau menganggap kesesakan lalu lintas di Seberang Perai sebagai isu utama pada PRN.
Eksekutif rantaian bekalan itu berkata, jalan raya dan pengangkutan awam perlu dinaik taraf, khususnya LRT, yang mesti diperluas untuk meliputi Seberang Perai.
Sementara itu, seorang pesara dikenali sebagai Cheah, 60, menganggap kenaikan harga barangan rumah di pasar pagi sebagai isu penting yang akan mempengaruhi keputusan undiannya.
Cheah berkata, kerajaan negeri boleh meringankan masalah ini dengan memansuhkan atau mengurangkan sewa bagi vendor premis dimiliki pihak berkuasa tempatan. Menurutnya, ini dapat membantu menurunkan harga barangan di pasar.
“Jika mereka boleh sediakan perkhidmatan ‘shuttle’ percuma, kenapa tak boleh mansuh, atau paling tidak kurangkan sewa (bagi peniaga?”