Pengundi N Sembilan jangan leka, keluar undi 12 Ogos, seru Hannah

Pengundi N Sembilan jangan leka, keluar undi 12 Ogos, seru Hannah

Hannah Yeoh juga menggesa jentera dan calon BN-PH tidak melihat PN lawan mudah.

Hannah Yeoh (tengah) memberi ingatan kepada pengundi keluar beramai-ramai pada 12 Ogos, sambil calon BN Pertang Jalaluddin Alias (kiri), berkata PN bergantung taktik mahu memancing undi ahli Umno.
SEREMBAN:
Seorang pemimpin DAP menyeru pengundi Negeri Sembilan jangan leka dan enggan keluar mengundi kerana beranggapan PRN bukan mengubah kerajaan persekutuan serta kedudukan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Hannah Yeoh menyifatkan pemikiran seperti itu salah selain melihat Perikatan Nasional (PN) adalah lawan mudah.

“(Pengundi) masing-masing kalau tak nampak aktiviti PN, tak boleh sangkakan mereka tak kuat. Ini kerana (mereka) kempen dalam WhatsApp, YouTube, dan TikTok,” katanya kepada media selepas berkempen bersama calon Barisan Nasional (BN) Pertang, Jalaluddin Alias.

Dalam pada itu, Hannah berkata pengundi terutama warga emas juga jangan menilai kekuatan pihak lawan berdasarkan saiz ceramah.

“Mungkin mereka rasa di sini lihat tidak ada ceramah besar oleh PN, (jadi) tak payah keluar.

“Ini bahaya dan saya jelaskan Nurul Izzah yang bagus dan popular pun kalah,” katanya.

Sementara itu, Jalaluddin yang juga ketua Umno Negeri Sembilan, berkata PN menggunakan taktik menyeru ahli Umno untuk undi gabungan itu bagi menjatuhkan Presiden Zahid Hamidi.

Katanya, seruan Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin itu disifatkan untuk mengubah fikiran ahli Umno untuk terus membenci Zahid dan pemimpin parti.

“PN tidak ada isu lain. Mereka gunakan isu yang boleh menaikkan emosi secara aktif,” katanya.

Semalam, Hamzah menggesa ahli Umno menyokong PN pada PRN. Katanya, jika prestasi Umno tidak memuaskan pada PRN, ahlinya mempunyai alasan kukuh menekan Zahid supaya berundur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.