Aminuddin akui tak sebulu dengan Rafie

Aminuddin akui tak sebulu dengan Rafie

Pengerusi PH Negeri Sembilan itu mendakwa penyandang Adun Ampangan itu tidak menghormatinya selaku menteri besar dan pimpinan PH negeri.

Aminuddin Harun tidak menafikan Rafie Abdul Malek banyak membawa pembangunan dan perubahan di Ampangan sebagai Adun dan timbalan ketua cabang Seremban.
PETALING JAYA:
Memang berlaku “pergeseran” dengan bekas ahli PKR Rafie Abdul Malek, yang bertanding di DUN Ampangan sebagai calon bebas, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

Aminuddin berkata, keadaan itu berlaku kerana Rafie tidak menghormatinya selaku menteri besar dan pimpinan PH negeri.

“Saya tak mahu tunjuk pergeseran itu. Tapi memang ada. Sebab beliau tak hormat saya,” katanya ketika menyampaikan ceramah pada program Bicara Serangkai Perpaduan di Ampangan semalam, lapor Sinar Harian.

Sekalipun begitu, Aminuddin tidak menafikan Rafie banyak membawa pembangunan dan perubahan di Ampangan sebagai Adun dan timbalan ketua cabang Seremban.

Bagaimanapun, katanya, sukar untuk Rafie meneruskannya jika berseorangan, memandangkan kini beliau bertanding sebagai calon bebas.

“Bila tak bersama (PH), bagaimana nak bangunkan Ampangan selepas ini dan teruskan kesinambungan pembangunannya pada masa hadapan?

“Kita tidak akan mampu buat semuanya seorang diri,” kata Aminuddin.

Terdahulu, keahlian Rafie dalam PKR gugur secara automatik berikutan tindakannya bertanding bebas di DUN Ampangan pada PRN Negeri Sembilan kali ini.

Rafie memaklumkan bahawa beliau membuat keputusan menjadi calon bebas kerana namanya ditolak daripada menjadi calon mempertahankan kerusi yang dipegangnya sejak 2018.

Beliau mendakwa dimaklumkan oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim bahawa Aminuddin dan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli membantah pencalonannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.