3 beranak maut, 2 cedera kereta dihempap pokok

3 beranak maut, 2 cedera kereta dihempap pokok

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Mohd Roslan Omar berkata, pokok menghempap dua kereta itu setinggi 50m dan sebesar dua pemeluk, tumbang akibat ribut dan hujan lebat.

Keadaan Nissan Sentra dan Honda City yang dihempap pokok tumbang di Kampung Bukit Cina, Kok Lanas malam tadi.
PETALING JAYA:
Tiga beranak maut, manakala dua lagi cedera selepas kereta mereka dihempap pokok tumbang di Kampung Bukit Cina, Kok Lanas, Kota Bharu malam tadi.

Nik Mohd Zulmi Ramli, 44, bersama isterinya, Nik Amirah Ab Rahman, 40, serta anak bongsu, Nik Aishah Azzahra, 5, meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mereka dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia.

Dua lagi anak mereka, Nik Adilia Zulaikha, 11, dan Nik Adam Zarif, 9, yang berada di tempat duduk belakang cedera serta dibawa ke Hospital Machang untuk menerima rawatan.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam tadi, lima sekeluarga itu dikatakan menaiki Nissan Sentra melalui lokasi kejadian dari arah Machang ke Kota Bharu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Mohd Roslan Omar berkata, pasukan bomba mengambil 45 minit untuk mengeluarkan mayat tiga beranak yang tersepit dalam kereta, dengan mangsa wanita ditemui meriba anaknya di tempat duduk hadapan.

“Difahamkan, wanita itu juga sedang mengandung. Selepas mengeluarkan mangsa, kita dapati ketiga-ketiganya sudah meninggal dunia.

“Pokok yang menghempap dua kenderaan itu setinggi 50m dan sebesar dua pemeluk, tumbang akibat ribut dan hujan lebat,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, 10 anggota bersama sebuah jentera dan dua jengkaut menyertai operasi mengeluarkan mangsa, memotong pokok dan kerja pembersihan yang mengambil masa dua jam setengah.

Pemandu dan penumpang Honda City, Shamsiemon Mukhtar, 53, bersama isteri, Jahnilawati Mohd Zain, 52, dan tiga anak, Muhammad Aliff, 26, Muhammad Aiman, 23, dan Isyatul Amalin, 20, terselamat tanpa sebarang kecederaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.