
Peguam itu yakin ‘bayang’ Azmin, sebagai bekas Adun Bukit Antarabangsa yang disenangi ramai memberi kelebihan kepadanya menang PRN, mengatasi calon Pakatan Harapan (PH) Mohd Kamri Kamarudin dan Melanie Ting dari Muda.
Sasha mendakwa rata-rata pengundi ditemuinya berpuas hati dengan prestasi Azmin termasuk sebagai menteri besar Selangor dari 2014 hingga 2018, selain membandingkannya dengan penggantinya Amirudin Shari.
“Sebelum DUN dibubarkan, saya ikut Azmin untuk beri perkhidmatan di Bukit Antarabangsa jadi mereka (pengundi) memang tahu bahawa saya dan PN masih ada di Bukit Antarabangsa.
“Saya rasa apa-apa kelebihan, atau mereka yang dah yakin dengan kepimpinan Azmin, caranya menjaga Bukit Antarabangsa, memang akan diikuti Adun seterusnya,” katanya kepada FMT.
Beliau turut membidas pihak mendakwa Azmin lari bertanding di DUN Hulu Kelang, yang disifatkan “sedikit selamat” berbanding Bukit Antarabangsa berdasarkan keputusan PRU15.
Mahu buka pusat khidmat guaman
Berpengalaman selama 16 tahun sebagai peguam, Sasha mahu menawarkan pusat nasihat guaman kepada golongan wanita yang mempunyai masalah perundangan terutamanya melibatkan isu rumah tangga, perceraian, nafkah dan hak jagaan anak jika menang.
Menurut Sasha, beliau mendapati kesedaran tentang undang-undang penduduk di situ masih rendah selain kes-kes mahkamah syariah oleh penduduk yang tidak diwakili peguam.
Beliau juga mahu menjadi pemudahcara antara pihak kerajaan dan penduduk Bukit Antarabangsa terutamanya isu-isu melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT).