
Anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Sarawak Metro Sdn Bhd berkata prototaip ART itu tiba di Terminal Pelabuhan Senari sekitar 8 pagi selepas berlayar dari Pelabuhan Shanghai, pada 15 Julai.
Detik bersejarah itu disaksikan Pengerusi SEDC Abdul Aziz Husain, yang berkata ketibaan prototaip itu menandakan satu lagi kejayaan bagi Metro Sarawak, syarikat yang bertanggungjawab melaksanakan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).
“Ini juga merupakan satu lagi pencapaian kerajaan dalam usahanya untuk mengubah Sarawak menjadi ekonomi maju menjelang 2030, dan sistem pengangkutan awam moden adalah penting untuk pembangunan negeri,” katanya dalam kenyataan.
Aziz yakin sebaik sahaja ART mula beroperasi dalam tempoh dua tahun, landskap sosioekonomi Kuching akan berubah dengan ketara seperti yang dibayangkan pemimpin tertinggi Sarawak.
“Projek ini pasti akan menjadi pencetus perubahan untuk landskap ekonomi negeri,” katanya.
Penghantaran itu terdiri daripada satu set tiga gerabak kereta api yang akan dipasang oleh krew teknikal dari CRRC Zhuzhou Institute Co. Ltd bersama-sama jurutera dan juruteknik dari Sarawak Metro.
Pemasangan itu dijangka siap dalam tempoh dua minggu, diikuti dengan ujian kejuruteraan yang bermula pada 1 Sept untuk memperhalusi spesifikasi ART dan mengenal pasti sebarang isu yang berpotensi sebelum permulaan latihan Bukti Konsep yang akan diadakan pada bulan November.
Perkhidmatan penumpang untuk ART akan dimulakan secara berperingkat mulai suku keempat 2025, bermula dengan Laluan Biru yang bermula dari Rembus di Kota Samarahan ke Hikmah Exchange di pusat bandar Kuching.
Selain Laluan Biru, dua lagi laluan akan dibina di bawah Fasa 1 projek KUTS iaitu Laluan Merah (dari Kuching Sentral ke Pending) dan Laluan Hijau (dari Pending ke Damai Central).
Sarawak Metro berkata Fasa 1 projek KUTS dijadualkan siap menjelang 2027, dan perkhidmatan itu akan dilengkapkan dengan rangkaian bas sokongan berkuasa hidrogen yang akan menghubungkan laluan pertama dan terakhir untuk KUTS.