
Mereka berkata, dengan penambahan 2.97 juta pengundi baharu, komposisi kaum telah berubah, dengan 37 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan kini menunjukkan majoriti Melayu. Baki kerusi, 13 kawasan majoriti Cina manakala selebihnya enam kerusi campuran.
Sumber parti berkata, para pemimpin bimbang perubahan pesat dalam demografi kaum akan menyebabkan hampir mustahil untuk mengatasi kekalahan kepada Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya akan datang.
Satu sumber memetik kerusi bandar Kota Kemuning yang kini mempunyai majoriti Melayu. Pengundi Melayu terdiri daripada 42%, manakala Cina membentuk 33%; kaum India 23%, dan lain-lain 2%.
“Jumlah pengundi Cina dan Melayu di sebilangan besar kawasan agak tinggi dengan pertambahan pengundi baharu. Pilihan raya kali ini akan jadi sukar bagi semua,” katanya.
Seorang penyandang kerusi menzahirkan kebimbangan bahawa penggunaan elemen kaum dan agama oleh PN semasa kempennya menjadi terlalu terang-terangan dengan dakwaan liar bahawa negara diperintah oleh golongan bukan Melayu.
“Semestinya mereka maksudkan DAP. Ini benar-benar boleh jejaskan peluang kami,” katanya.
Menurut satu sumber, pemimpin parti tertentu percaya gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) akan mengekalkan Selangor dengan kelebihan hanya segelintir kerusi, tetapi gabungan perpaduan itu berisiko kalah pada pilihan raya jika peratusan keluar mengundi jatuh bawah 65%.
“Dakwaan pemimpin PN seperti Azmin Ali bahawa ‘Gelombang Hijau’ tak wujud bertujuan mengelirukan pengundi bukan Melayu,” katanya kepada FMT.
“Mereka lebih suka pengundi bukan Melayu menjauhkan diri kerana mereka tahu PH-BN akan dapat manfaat jika (pengundi bukan Melayu) beramai-ramai (keluar mengundi).
“Walaupun parti itu tahu pemikiran pengundi Melayu di bandar berbeza daripada di luar bandar, namun naratif kaum dan agama terang-terangan yang digunakan untuk menarik orang Melayu menakutkan. Kami benar-benar bimbang gaya kempen ini mungkin berkesan untuk pembangkang.”
Dalam video di media sosial baru-baru ini, calon PH di Subang Jaya, Michelle Ng, menekankan kebimbangan parti itu berhubung kemungkinan peratusan keluar mengundi yang rendah. Katanya, perkara ini patut menyedarkan semua pihak.
“Pada PRU15, sebanyak 2,850 undi pos dikeluarkan bagi kawasan Parlimen Subang yang mempunyai DUN Kinrara dan Subang Jaya. Jika anda bahagikan (angka itu), setiap kerusi sepatutnya mempunyai purata 1,425 undi.
“Bagaimanapun, hanya 398 undi pos dikeluarkan untuk Subang Jaya, iaitu hanya 30% (jumlah undi).
“Jika ini mencerminkan peratusan keluar mengundi pada 12 Ogos, ia akan menjadi bencana kepada PH. Kita perlu peratusan keluar mengundi sekurang-kurangnya 65% untuk menang,” katanya.