Kenyataan ‘Umno parti Melayu terbaik’ oleh Khalid terpakai dalam PH-BN, kata penganalisis

Kenyataan ‘Umno parti Melayu terbaik’ oleh Khalid terpakai dalam PH-BN, kata penganalisis

Pemimpin Amanah itu sekadar membandingkan keupayaan komponen pakatan perpaduan untuk mewakili orang Melayu konservatif di luar bandar.

Kenyataan Khalid Samad juga boleh dikaitkan dengan paparan solidariti yang keterlaluan dalam gabungan perpaduan untuk menentang kebangkitan PN, kata penganalisis.
PETALING JAYA:
Dakwaan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad baru-baru ini bahawa Umno “benar-benar mewakili kepentingan orang Melayu” hanya bertujuan sebagai perbandingan antara parti dalam gabungan perpaduan, kata seorang penganalisis.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, kenyataan Khalid merujuk kepada keupayaan Umno untuk mewakili orang Melayu luar bandar yang konservatif, satu sifat yang tiada dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).

“Dalam gabungan PH-BN, hanya Umno sahaja parti yang benar-benar Melayu, yang cita-cita dan program politiknya berteraskan nasionalisme Melayu.

“PKR berbilang kaum, walaupun diterajui Melayu, manakala Amanah ialah parti Islam yang progresif,” kata Fauzi.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid.

Khalid, pengkritik hebat Umno sebelum kerajaan perpaduan terbentuk, malah mencetuskan kekecohan dalam parti itu selepas beliau merayu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan untuk menolak permohonan bekas perdana menteri Najib Razak bagi pengampunan diraja.

Kenyataan itu memburukkan keretakan antara Umno dan Amanah, dengan ada yang mendakwa Khalid mempersoalkan pertimbangan Agong.

Fauzi berkata, dengan elemen perkauman yang tertanam dalam masyarakat Malaysia, politik perkauman akan terus menguasai landskap politik Malaysia terutamanya memandangkan komposisi etnik negara sedang berubah.

“Khalid hanya merujuk kepada fakta politik Malaysia yang tidak dapat dinafikan, iaitu secara demografinya, orang Melayu sedang menuju ke arah merangkumi 70% pengundi pada tahun-tahun akan datang.

“Untuk mengatakan bahawa dalam keadaan sedemikian kita boleh dengan lancar beralih sepenuhnya daripada politik berasaskan kaum adalah sangat idealistik,” kata Fauzi.

Rangka isu menerusi aspek berbeza

Wong Chin Huat.

Sementara itu, ahli sains politik Wong Chin Huat berkata, Khalid sekadar membandingkan Umno dengan parti majoriti Melayu-Islam lain seperti Amanah, PKR dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak.

Katanya, peralihan daripada politik berasaskan kaum boleh dilakukan dengan merangka isu dengan cara selain menerusi kanta perkauman.

“Jika seorang ibu tunggal berbangsa Melayu menderita akibat kemiskinan, parti etnik akan memperjuangkan isu itu sebagai isu Melayu atau Islam.

“Bagaimanapun, parti belia mungkin menghujahkannya sebagai isu generasi, manakala parti feminis mungkin merangkanya daripada perspektif gender,” kata Wong.

Tambahnya, untuk memecahkan monopoli politik komunal, Malaysia mesti beralih daripada sistem “first-past-the-post” kepada sistem “party list”, yang akan memberikan lebih banyak perwakilan kepada parti bukan sektarian.

Tunjuk solidariti berlebihan

Oh Ei Sun.

Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, kenyataan Khalid boleh dikaitkan dengan paparan solidariti yang keterlaluan dalam gabungan perpaduan untuk menentang kebangkitan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, kata-kata Khalid sekadar “Freudian slip” yang dibuatnya dalam “keghairahan untuk membantu kempen Umno, yang penting bagi membendung serangan Gelombang Hijau”.

Beliau berkata, persepsi dalam kalangan orang Melayu adalah PH hanya memuaskan golongan sederhana dalam masyarakat mereka yang tinggal di bandar.

Kenyataan Khalid tidak akan menyebabkan gabungan itu kehilangan sokongan sedia ada, tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.