Dakwaan rancangan ‘jatuhkan’ Chow tak sahih, kata Loke

Dakwaan rancangan ‘jatuhkan’ Chow tak sahih, kata Loke

Loke Siew Fook berkata, dakwaan itu bertujuan mengeruhkan keadaan dan menimbulkan keadaan tidak menentu dalam kalangan rakyat.

Loke Siew Fook berharap rakyat tidak terpengaruh dengan dakwaan itu yang dibuat ‘orang kecewa kerana tidak dapat menjadi calon’.
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook menyifatkan dakwaan terdapat rancangan menjatuhkan Chow Kon Yeow dalam pemilihan parti, walaupun jika Pakatan Harapan-Barisan Nasional memenangi PRN di Pulau Pinang dan dilantik semula sebagai ketua menteri sebagai tidak sahih.

“Siapa punya plan (rancangan)? Saya sudah beri kenyataan secara terbuka bahawa pemilihan kita bagi calon ketua menteri bagi penggal ini ialah Kon Yeow yang perlu memenangi mandat sebagai Adun.

“Selepas kerajaan negeri dibentuk, Kon Yeow akan dilantik serta dinamakan sebagai ketua menteri dan kita akan pastikan sokongan kepada beliau berterusan sepanjang penggal depan.

“Ia adalah komitmen dan pendirian DAP, jadi jangan dengar dakwaan itu kerana tidak sahih. Mereka tidak mewakili pendirian DAP,” katanya menurut Harian Metro selepas Majlis Pecah Tanah Pembinaan Bangunan Baharu Kolej Universiti Komunikasi Han Chiang di Georgetown.

Loke berkata, dakwaan itu hanya bertujuan mengeruhkan keadaan dan mengambil kesempatan bagi menimbulkan keadaan tidak menentu dalam kalangan rakyat.

Justeru, beliau berharap rakyat tidak terpengaruh dengan dakwaan itu yang dibuat “orang kecewa kerana tidak dapat menjadi calon”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.