Tiada siapa kebal undang-undang termasuk kerabat, kata pemangku Raja Pahang

Tiada siapa kebal undang-undang termasuk kerabat, kata pemangku Raja Pahang

Pemangku Raja Pahang mengingatkan semua agensi penguatkuasaan menjalankan tugas tanpa rasa takut dan tidak mengambil rasuah.

Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Sultan Abdullah berkata semua projek pembangunan di negeri itu perlu disembah maklum dan mohon perkenan daripada baginda. (Gambar Bernama)
PEKAN:
Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Sultan Abdullah mengingatkan agensi penguatkuasaan di negeri itu tidak mengambil rasuah dan sentiasa menjaga integriti mereka.

Baginda bertitah, agensi berkenaan perlu menjalankan penguatkuasaan dengan bersungguh-sungguh selain bertindak tegas termasuk dalam usaha memastikan alam sekitar, flora dan fauna di Pahang sentiasa terjaga.

“Saya ada bersama anda, jangan risau. Jangan ambil rasuah dan sentiasa jaga integriti, jika ada yang jual nama sembahkan kepada saya. Tiada yang kebal daripada undang-undang, yang salah tetap salah, tidak kira kerabat, orang politik mahupun rakyat.

“Kepada semua ahli kerabat, segala projek berbentuk usaha sama dengan kerabat negeri lain mesti mendapat perkenan saya terlebih dahulu…begitu juga kepada semua ahli politik, projek pembangunan perlu disembah maklum dan mohon perkenan daripada saya,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang bersempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke – 64 Sultan Pahang di Istana Abu Bakar.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli berangkat ke majlis santapan yang berlangsung selepas istiadat pengurniaan.

Selain itu, Tengku Hassanal bertitah kerajaan persekutuan perlu mendapatkan kelulusan daripada kerajaan Pahang terlebih dahulu berhubung sebarang projek pembangunan.

“Kepada Jabatan Alam Sekitar pula, saya mahu laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) disembah maklum terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat. Semua isu dan projek yang disembah maklum akan saya sembahkan ke sisi ayahanda (Sultan Abdullah) untuk mendapat perkenan,” titah baginda.

Sebagai pewaris takhta negeri Pahang, Tengku Hassanal bertitah baginda tidak berhasrat untuk campur tangan dalam urusan pentadbiran kerajaan, namun mahu menjadi pihak berkepentingan utama dalam melaksanakan semak dan imbang kepada pembangunan yang akan dilaksanakan.

“Saya mahu prosedur ini terus dilaksanakan walaupun ketika saya menjadi Tengku Mahkota semula agar semua pembangunan yang dirancang akan memberikan manfaat yang terbaik kepada rakyat dan alam sekitar kekal lestari,” titah baginda.

Ketika bertitah, Tengku Hassanal turut menyentuh mengenai sentimen 3R iaitu agama, institusi diraja dan kaum yang menjadi kebimbangannya selain bertegas tidak akan sesekali membenarkan mana-mana pihak memainkan isu berkenaan di Pahang.

Selain itu, baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada 104 penerima darjah kebesaran dan pingat serta mengingatkan mereka supaya tidak lupa diri, sombong, riak dan angkuh.

“Saya tidak akan teragak-agak untuk menarik semula darjah kebesaran yang telah dikurniakan sekiranya terdapat salah laku dalam kalangan penerima,” titah Tengku Hassanal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.