
Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin, berkata laporan dikeluarkan Jabatan Perangkaan (DOSM) itu menunjukkan bilangan pekerja formal yang dicatatkan pada Mac 2023 seramai 6.45 juta orang.
“Pekerja formal lelaki merangkumi 55.5% atau seramai 3.58 juta orang daripada keseluruhan pekerja formal warganegara dengan median upah RM2,664 sebulan.
“Pekerja formal perempuan pula membentuk 44.5% atau 2.87 juta dengan median upah bulanan RM2,545,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Pertama 2023 oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Pekerja formal merujuk kepada individu bekerja bawah kontrak perkhidmatan atau latihan perantisan bermajikan dan menerima ganjaran untuk kerja yang diselesaikan.
Uzir berkata, laporan itu berdasarkan data daripada Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan tidak mengambil kira sebahagian besar gaji sektor awam.
“Upah yang dianggarkan dalam penerbitan ini merujuk kepada semua ganjaran dalam bentuk wang yang meliputi bonus, komisen dan elaun dibayar kepada pekerja untuk pekerjaan yang dilakukan pada tempoh rujukan,” katanya.
Beliau berkata, etnik Cina memperoleh median upah bulanan tertinggi pada Mac 2023 sebanyak RM4,000, diikuti India (RM2,500), Bumiputera (RM2,200) dan lain-lain (RM2,000).
Upah mengikut kumpulan umur pula, Uzir berkata median upah bulanan tertinggi pada Mac 2023 direkodkan oleh pekerja formal berumur 45 hingga 49 tahun dan 40 hingga 44 tahun masing-masing RM3,500.
Kumpulan umur bawah 20 tahun menerima median upah bulanan terendah iaitu RM1,500 dalam bulan tersebut.
Mengenai situasi upah mengikut aktiviti ekonomi, Uzir berkata sektor perlombongan dan pengkuarian, walaupun hanya mewakili 0.5% daripada keseluruhan pekerja formal, mencatatkan median upah bulanan tertinggi pada Mac 2023 iaitu RM7,500, manakala sektor pertanian yang terendah dengan RM1,900.
Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang mencatatkan median upah tertinggi iaitu RM3,927 bagi Kuala Lumpur; Selangor (RM2,964) dan Pulau Pinang (RM2,627).
Negeri dengan median upah bulanan terendah pada Mac 2023 adalah Kelantan, Perlis dan Sabah masing-masing RM1,600, RM1,627 dan RM1,782.
Uzir berkata, penghasilan laporan itu adalah produk pertama berjaya diterbitkan menggunakan inisiatif kerangka Pembangunan Pangkalan Data Utama (Padu) yang melibatkan pengintegrasian data pentadbiran yang pelbagai berkaitan pasaran pekerjaan.