
Selepas diejek dan dihalau ketika berkempen di bawah lambang Barisan Nasional (BN) untuk kerusi berkenaan pada 2018, pengerusi Gerakan Pulau Pinang itu kali ini tampil lebih berani.
Keadaan mula berubah apabila lebih ramai mula menerima Gerakan biarpun dikaitkan dengan Perikatan Nasional (PN) dan “Gelombang Hijau”.
“Saya pernah digelar ‘anjing’ kerana bekerja untuk Umno dulu. Orang halau saya, (tetapi) keadaan mula berubah sekarang,” kata timbalan ketua PN negeri itu kepada FMT
“Orang Cina tidak menghalau saya, mereka berkata ‘jia you’ (semoga berjaya), dan orang Melayu sepenuhnya bersama saya,” katanya.
Di pasar malam yang sesak di Pantai Jerejak, Oh dilihat bersemangat berkempen selepas seorang penjual air nira memeluknya dan berkata dia akan menang.
Turut memberi sokongan moral ialah bekas menteri Zuraida Kamaruddin, yang mengaku dirinya menyokong PN.

Oh percaya kebanyakan orang Melayu di Pantai Jerejak akan menyokongnya kali ini, manakala sesetengah orang Cina mungkin bersedia untuk mengambil langkah berani mengundi PN, meningkatkan peluangnya untuk mengambil sekurang-kurangnya 10% undi mereka.
Berdasarkan data 2018, orang Cina membentuk blok pengundi terbesar di Pantai Jerejak dengan 50%, diikuti oleh Melayu (37%), India (11%) dan lain-lain (0.72%).
Oh berkata orang Cina mula menerima PN kerana defisit kepercayaan mereka terhadap DAP dan PH yang telah melupakan prinsip mereka dengan bekerjasama dengan musuh lama, Umno.
Selain itu katanya, beliau tetap turun padang mendengar rintihan rakyat walaupun tewas di Pantai Jerejak pada 2018, dan di Bayan Baru tahun lepas.
Kerusi Pantai Jerejak akan menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Oh, calon Pakatan Harapan Fahmi Zainol, calon Muda Priyankaa Loh dan Ravinder Singh dari PRM.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat 29,890 pemilih yang layak mengundi setakat tahun ini di kawasan DUN itu.