
Pengumuman itu dibuat Annuar dalam sidang media di kediamannya di Bukit Marak, Kota Bharu, Kelantan, menurut Utusan Malaysia.
Hadir sama Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung, Takiyuddin Hassan.
Pada 21 Mei, Afiq memberi “bayangan” perlu membuat keputusan dan pilihan sendiri apabila sudah matang, tanpa menjadi “guru” dipercayai merujuk tindakan bapanya yang menyertai PAS.
Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) Kelantan menghantar 155 nama kepada pucuk pimpinan parti untuk dipertimbangkan sebagai calon pada PRN Kelantan 12 Ogos ini.
Ketua Penerangan Umno Kelantan, Zawawi Othman, mengesahkan Afiq antara nama dihantar kepada pucuk pimpinan untuk dicalonkan dalam satu DUN bawah Parlimen Ketereh.
Bagaimanapun, dalam pengumuman calon dibuat Pengerusi BN Zahid Hamidi pada 21 Julai menyaksikan nama Afiq tidak tersenarai.
Terdapat tiga DUN dalam Parlimen Ketereh iaitu Melor, Kadok dan Kok Lanas.
Hilang semangat dalam Umno
Sementara itu, Afiq berkata beliau tidak menyertai mana-mana parti sebaliknya mahu berehat daripada politik, namun menyokong Perikatan Nasional.
Menurut Berita Harian, beliau menyatakan tidak puas hati kerana mendakwa Umno meminggirkan rakan komponen dalam parti dan menjulang rakan baharu seperti DAP.
Mengulas lanjut, Afiq berkata atas beberapa faktor menyebabkan beliau tidak mempunyai semangat untuk terus berada dalam Umno.
“Saya sudah dewasa dan tidak dipaksa oleh sesiapa atas tindakan yang dibuat hari ini termasuk bapa. Jika benar saya mahu mengikut perjuangan bapa, saya sudah keluar parti dari awal,” katanya.