
Timbalan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Ramkarpal Singh berkata mogok lapar itu berakhir 2 petang semalam.
“Saya amat bimbang akan keadaan kesihatan mereka dan bersyukur melihat mereka makan dan minum semula,” katanya dalam catatan Facebook hari ini.
Keluarga 69 tahanan itu–34 di Penjara Sungai Buloh dan 35 di kemudahan Alor Setar–memulakan mogok lapar mereka Ahad lalu bagi membantah pemenjaraan berterusan orang tersayang.
Sebahagian tahanan itu ditahan selama tiga tahun tanpa perbicaraan.
Kumpulan keluarga itu menuntut kerajaan membebaskan tahanan terbabit kerana ada dalam kalangan mereka ialah pencari nafkah tunggal keluarga dan mereka bergelut untuk hidup tanpa sumber pendapatan utama.
Ramkarpal meminta kumpulan ahli keluarga terbabit menamatkan bantahan mereka demi anak-anak yang turut menyertai mogok lapar itu.
Katanya, usaha meneliti dan meminda Sosma mengikut keadaan semasa sedang dilakukan.
Sosma diperkenalkan pada 2012 menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri. Dua undang-undang itu membenarkan penahanan berterusan tanpa perbicaraan.
Sosma digunakan untuk menahan pelbagai individu – daripada ahli Jemaah Islamiyah kepada aktivis hak sivil terkenal seperti Maria Chin Abdullah. Penahanan Maria mendapat kecaman meluas kumpulan hak asasi manusia dan Jabatan Negara Amerika Syarikat.