C4 bimbang SPRM diam diri ‘ugutan’ PM terhadap lawan

C4 bimbang SPRM diam diri ‘ugutan’ PM terhadap lawan

C4 dan Pemerhati Rasuah Malaysia berkata, kenyataan perdana menteri menimbulkan persoalan berhubung potensi salah guna kuasa oleh eksekutif.

Pushpan Murugan berkata kenyataan kontroversi Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Machang, Kelantan menunjukkan campur tangan eksekutif dalam tugas penguatkuasaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebuah badan pemantau antirasuah mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendiamkan diri selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim kelihatan mengugut dua pemimpin politik tidak dinamakan dengan siasatan jenayah, jika tidak memulangkan wang didakwa dicuri daripada dana awam.

“Adakah mereka (SPRM) tunggu perdana menteri beri arahan? Bukankah mereka sepatutnya bebas?” soal Pusphan Murugiah, ketua pegawai eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4).

Katanya, kenyataan Anwar itu menunjukkan agensi penguatkuasaan di bawah kawalan eksekutif dan terbuka dijadikan alat ugutan.

Pushpan berkata, tindakan SPRM mendiamkan diri “mengesahkan persepsi orang ramai bahawa agensi kita, khasnya SPRM, tidak bebas”.

Anwar dalam program Jelajah Madani di Machang, Kelantan akhir bulan lalu dilaporkan memberi amaran kepada bekas pemimpin terbabit supaya “memulangkan wang dan harta dicuri daripada rakyat” atau beliau akan “meminta pihak berkuasa ke rumah dan pejabat mereka serta menyemak akaun mereka”.

Semalam, seorang ahli Pemuda Bersatu membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Sementara itu, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim memberi amaran kenyataan Anwar mungkin mempunyai kesan berpanjangan dalam tanggapan orang ramai terhadap pihak berkuasa dan tindakan mereka.

“Persepsi ini boleh menyebabkan hilang keyakinan awam terhadap institusi bertanggungjawab menegakkan keadilan.”

Jais menggesa semua pemimpin berwaspada dalam kata-kata dan tindakan mereka bagi mengekalkan keyakinan orang ramai.

“Menggunakan platform himpunan politik untuk membuat ugutan sedemikian boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap integriti pihak berkuasa dan kerajaan.

“Penting untuk pemimpin berkomunikasi dengan cara menunjukkan penghormatan terhadap kedaulatan undang-undang, proses wajar dan hak individu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.