Tiada lagi kursus, ujian teori bagi tambah kelas lesen memandu

Tiada lagi kursus, ujian teori bagi tambah kelas lesen memandu

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, peraturan baharu itu berkuatkuasa 15 September ini.

Individu yang mahu menambah kelas dalam lesen memandu hanya perlu memperbaharui semula lesen belajar memandu dan seterusnya mendaftar di mana-mana institut latihan memandu.
PETALING JAYA:
Individu yang memiliki lesen memandu motosikal atau motokar kini dikecualikan daripada menghadiri kursus dan ujian teori untuk mendapatkan lesen untuk kelas kenderaan berbeza.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dalam satu kenyataan berkata, peraturan baharu itu berkuatkuasa 15 September ini.

Katanya, individu tersebut hanya perlu memperbaharui semula lesen belajar memandu dan seterusnya mendaftar di mana-mana institut latihan memandu.

“Sebagai contoh, seseorang yang sudah lulus ujian lesen memandu motosikal tidak perlu menduduki kursus untuk kali kedua untuk mengambil lesen memandu motokar.

“Bagaimanapun, calon masih wajib menjalani latihan dan ujian praktikal di litar serta di jalan raya secara berasingan,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurutnya, had umur untuk memohon lesen memandu motosikal masih kekal pada 16 tahun manakala 17 tahun untuk lesen memandu motokar.

Katanya, individu yang mahu memohon lesen memandu juga perlu bebas daripada sebarang tindakan senarai hitam Jabatan Pengangkutan Jalan dan polis.

“Inisiatif ini memberi manfaat kepada rakyat bagi mendapatkan lesen memandu motosikal dan motokar tanpa menjejaskan tahap kekompetenan.

“Pelaksanaan ini berdasarkan maklum balas awam dan bertujuan untuk menjimatkan masa dan kos bagi mendapatkan lesen memandu yang sah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.