PN janji air percuma untuk semua jika menang Selangor

PN janji air percuma untuk semua jika menang Selangor

Dasar pemberian air percuma bagi 20 meter padu pertama diperkenalkan pada 2008 dihadkan kepada B40 pada 2020.

Azmin Ali berkata Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin bersetuju untuk memperkenalkan semula program air percuma.
GOMBAK:
Perikatan Nasional (PN) berjanji akan memperkenalkan semula program air percuma kepada semua isi rumah di Selangor jika menang PRN 12 Ogos ini.

Azmin Ali berkata ketika menjadi menteri besar dari 2014 hingga 2018, beliau meneruskan dasar pemberian air percuma untuk 20 meter padu pertama kepada semua tanpa mengira pendapatan isi rumah yang diperkenalkan ketika pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) pada 2008.

Namun calon PN DUN Hulu Kelang itu berkata, pentadbiran Menteri Besar Amirudin Shari pada 2020 telah mengehadkannya kepada isi rumah berpendapatan RM5,000 ke bawah.

“Sekarang kononnya hanya B40, Amirudin B40 sekarang dah tiada…kemiskinan sudah melebar akibat pandemik sebab itu ramai yang tercicir.

“Muhyiddin Yassin (pengerusi PN) telah setuju kalau menang di Selangor, kita akan teruskan program ini,” katanya pada ceramah DUN Hulu Kelang malam ini.

Sementara itu, Azmin berkata PN akan melancarkan manifestonya Jumaat ini, antaranya berjanji menawarkan 100,000 pekerjaan berkualiti untuk anak muda selain pemberian air percuma.

“Muhyiddin sendiri akan umumkan tawaran kepada rakyat Selangor,” katanya.

Beliau turut mendakwa telah dihubungi untuk mengadakan pertemuan dengan lebih 30 ketua cawangan Umno di Gombak yang bersedia menyokong PN pada PRN ini.

Azmin yang pernah menjadi Adun Hulu Kelang pada 1999 akan berdepan Timbalan Ketua Wanita PKR Juwairiya Zulkifli yang mewakili Pakatan Harapan (PH) di kerusi terbabit pada 12 Ogos depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.