
Loke berkata, syarikat itu akan menanggung kos pembangunan semula dianggarkan bernilai RM1 bilion. Sebagai balasan, MRCB akan diberi hak membangunkan unit komersial di hab pengangkutan itu.
“Bagi kita, ini projek penswastaan yang tidak memerlukan belanja kerajaan, manakala kita akan dapat stesen moden untuk memenuhi keperluan pengangkutan awam.
“KL Sentral adalah salah satu hab pengangkutan terpenting kerana ia stesen utama bagi perkhidmatan kereta api KLIA Express, LRT dan KTM,” katanya pada sidang media di Kementerian Pengangkutan.
Tambahnya, wujud keperluan mendesak untuk membangunkan semula KL Sentral kerana ia mengalami masalah kesesakan yang serius.
Walaupun bangunan sekarang pada asalnya hanya direka untuk menampung 100,000 pengguna sehari, ia kini merekodkan 200,000 setiap hari, katanya.
Menteri itu berkata, reka bentuk baharu itu akan menambah baik aspek keselamatan dengan menggantikan kamera litar tertutup (CCTV) analog dengan CCTV kecerdasan buatan (AI) yang boleh mengesan pergerakan manusia.
Menurut Loke, pembangunan semula itu dijangka dimulakan dalam tempoh satu hingga dua tahun kerana kementerian kini sedang berbincang dengan Unit Kerjasama Awam-Swasta (Ukas) di Jabatan Perdana Menteri berhubung projek itu.
“Kami harap perbincangan akan dimuktamadkan dalam tempoh setahun,” kata Loke, sambil menambah bahawa KL Sentral akan kekal beroperasi dalam proses pembangunan semula.
KL Sentral mula beroperasi pada 2001.
Pada 2021, menteri pengangkutan ketika itu Wee Ka Siong berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menaik taraf hab pengangkutan itu secara besar-besaran buat kali pertama.
New Straits Times melaporkan Wee berkata, langkah ini bagi menampung peningkatan jumlah pengguna kerana hab pengangkutan itu telah melebihi kapasiti 100,000 pengguna harian.