
“Kami meminta mereka kembali dengan penilaian kesan alam sekitar(EIA), kajian impak sosial (SIA) dan laporan penilaian impak trafik (TIA) dan jika satu daripadanya tidak lulus, projek itu akan dibatalkan,” katanya kepada media malam tadi.
Beliau berkata, laporan SIA hanya diterima dua bulan lalu.
“Selepas meneliti secara terperinci, ia tidak menepati syarat. Atas sebab itu, kami membatalkan projek itu,” katanya.
Mengikut perancangan, lebuh raya itu akan menghubungkan utara dan selatan Petaling Jaya melalui Petaling Jaya Utara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Taman Dato’ Harun, Taman Medan Baru, Taman Sri Manja, Bandar Kinrara dan Taman Teknologi Bukit Jalil.
“Kami perlu masa untuk meneliti butiran tiga penilaian itu dan laporan SIA yang dikemukakan dua bulan lalu tidak menepati syarat,” katanya.
Semalam, Amirudin dilaporkan berkata, laporan penilaian impak yang dikemukakan pemaju tidak memuaskan dan tidak menepati sebahagian syarat ditetapkan kerajaan negeri, khasnya berkaitan impak sosial.
Mengenai pelaburan cadangan pelabuhan baharu di Pulau Carey, Amirudin berkata, kerajaan negeri menerima satu cadangan daripada sektor swasta yang mencecah RM30 juta.
“Tetapi, kerajaan negeri tidak mahu mengulangi kesilapan sama seperti dahulu, di mana kita perlu ada sebahagian pegangan dalam pelabuhan itu. Kami mahu memastikan ada pendapatan untuk negeri, atas faktor itu kami mencadangkan 20% hingga 30% ekuiti bagi pihak negeri.”
Cadangan pembinaan pelabuhan Pulau Carey, yang ketiga di Selangor, diumumkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 pada Februari lalu.
Mac lalu, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook dilaporkan berkata, pembangunan pelabuhan Pulau Carey mengambil masa lebih 30 tahun dan fasa awal akan memfokuskan kargo konvensional, dengan terminal kargo pukal kering dan cecair.