Kerajaan teliti keperluan kerangka kawal selia AI, kata Fahmi

Kerajaan teliti keperluan kerangka kawal selia AI, kata Fahmi

Fahmi Fadzil berkata kerangka itu bagi memahami cabaran penggunaan AI memandangkan ia merupakan satu teknologi baharu.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata pakar daripada agensi kerajaan serta industri perlu bekerjasama untuk memahami cabaran IA kerana teknologi itu mungkin bawa kesan kepada sektor pekerjaan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kerajaan sedang meneliti keperluan untuk mewujudkan kerangka kawal selia teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengatasi masalah etika penggunaan berkaitan teknologi berkenaan, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Bercakap pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada program Public Sector Day Malaysia, Fahmi berkata kerangka itu akan membantu kerajaan memahami beberapa cabaran penggunaan AI memandangkan ia merupakan satu teknologi baharu.

“Ini perkara (teknologi) baharu dan kita perlu kumpulan tenaga pakar daripada agensi kerajaan serta industri untuk memahami beberapa cabaran. AI mungkin akan bawa kesan kepada sektor pekerjaan.

“Ketika ini, ramai sudah mula guna aplikasi AI, ada kewajaran bagi pihak kerajaan untuk meneliti keperluan mewujudkan suatu kerangka kawal selia,” katanya.

AI ialah teknologi yang meniru kepintaran otak manusia dengan kemampuan untuk belajar memperbaiki mutu kerjanya dari semasa ke semasa sehingga dapat berfungsi lebih cekap dan sempurna bagi melaksanakan sesuatu tugasan.

Bagi meningkatkan pemahaman rakyat terhadap AI, Fahmi mencadangkan RTM mewujudkan program khas dengan mengundang Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai tetamu untuk mengulas mengenai AI dalam bahasa Melayu.

“Sejajar dengan perkembangan sektor teknologi, saya harap RTM boleh berbincang dengan DBP. Usaha ini boleh bantu untuk memperbanyakkan kosa kata berkaitan teknologi dalam bahasa Melayu …. Bila ada banyak kosa kata (mengenai teknologi) dalam bahasa Melayu, ia akan mudah difahami,” katanya.

Fahmi berkata perkembangan bahasa perlu selaras dengan kemajuan teknologi bagi memastikan setiap teknologi baharu mudah difahami segenap lapisan masyarakat.

Terdahulu, dalam ucaptamanya Fahmi berkata Malaysia memerlukan lebih ramai bakat dan pakar dalam data dan teknologi kerana negara ini semakin menghampiri dekad digital keemasan dan menjadi harimau digital Asia.

“Banyak peluang untuk meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat dengan menerima pendigitalan kerana Malaysia berusaha untuk menjadi negara yang mengutamakan digital dan memulakan dekad digital yang makmur,” katanya.

Berhubung Inisiatif MyDigital, Fahmi berkata inisiatif yang dilancarkan pada Februari 2021 itu telah mencapai kemajuan ketara ke arah matlamatnya mengubah Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang didayakan secara digital dan berteknologi tinggi, serta sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital.

Beliau berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pusat pelaburan data yang mampan dan berdaya tahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.