
Semasa minggu pertama kelas, mereka diberitahu bukan semua pelajar Darjah 1 akan diajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.
“Tiba-tiba, kami dimaklumkan melalui WhatsApp mereka akan memisahkan anak-anak kami kepada dua kelas – satu bukan DLP dan satu lagi DLP,” kata seorang ibu bapa kepada FMT yang enggan dinamakan.
Mesej WhatsApp pada 20 Mac lalu menyatakan sekolah itu dimaklumkan Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur supaya tidak mengadakan kelas DLP sepenuhnya untuk pelajar Darjah 1 mulai tahun akademik 2023-24.
Ini mengejutkan ramai ibu bapa kerana mereka mendaftarkan anak ke sekolah itu dengan menjangkakan anak mereka akan belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris selama enam tahun di sekolah rendah.
“Ia agak mengecewakan semua ibu bapa,” kata seorang lagi ibu bapa.
Ibu bapa itu berkata, mereka tidak dimaklumkan bagaimana anak mereka dinilai dan disusun ke kelas DLP atau bukan DLP, selain kefasihan mereka dalam bahasa Inggeris dan Melayu akan dinilai semasa program peralihan.
“Pelajar akan dipilih menghadiri kelas DLP berdasarkan penguasaan mereka dalam bahasa Inggeris dan Melayu,” menurut mesej itu.
Apabila Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu meminta penjelasan daripada Jabatan Pendidikan KL, mereka diberitahu perkara itu bukan di bawah bidang kuasanya, tetapi di bawah kuasa Bahagian Pengurusan Sekolah Kementerian Pendidikan (KPM).
PIBG kemudiannya menghantar surat dan petisyen ditandatangani 31 ibu bapa kepada KPM pada 25 Mei lalu untuk meminta keputusan itu dibatalkan dan sehingga kini mereka masih menunggu jawapan KPM.
FMT cuba menghubungi KPM dan Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur untuk mengulas.
Ibu bapa turut meminta bantuan Yunus Yasin, presiden Persatuan Sains, Teknologi dan Inovasi serta penyokong terkenal bagi golongan muda yang menceburi bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.
Yunus memberitahu FMT, DLP adalah inisiatif baik dan mengurangkan kelas ini tidak baik untuk kepentingan kanak-kanak.
Katanya, DLP tidak patut dipolitikkan dan ibu bapa serta guru setiap sekolah perlu dibenar mengadakan rundingan terus bagi memutuskan perkara terbaik buat pelajar.
“Pendidikan kanak-kanak adalah perkara peribadi. Ia tidak patut menjadi isu nasional,” kata Yunus.
Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Untuk Pendidikan (PAGE) menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim campur tangan kerana kelas DLP perlu dibangunkan lagi untuk mempersiapkan generasi akan datang bagi pekerjaan bernilai tinggi.
Nasionalis bahasa
Pengerusi PAGE, Noor Azimah Abdul Rahim turut membantah satu daripada kriteria DLP yang memerlukan pelajar menunjukkan prestasi cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia (BM) secara konsisten.
Katanya, keperluan BM ditambah pada saat-saat akhir bagi menenangkan nasionalis bahasa, secara automatik mengurangkan separuh jumlah sekolah boleh memilih DLP.
Sekolah rendah di KL itu bukan satu-satunya sekolah yang menghadapi dilema sama. Mac lalu, ibu bapa dari lima sekolah rendah Tamil di Johor mengadakan bantahan aman berhubung ketiadaan kelas DLP, lapor The Star.
Satu daripada PIBG sekolah Johor itu berkata, pelajar mempunyai akses kepada kelas DLP sejak lima tahun lalu, tetapi terdapat perubahan mendadak tahun ini dengan hanya satu kelas dan 35 pelajar dibenarkan mendaftar untuk kelas DLP.
KPM akhirnya memutuskan untuk menambah kelas DLP bagi empat daripada lima sekolah Tamil bagi sesi persekolahan semasa, selepas berbincang dengan PIBG, guru dan ibu bapa.