

Seorang pemilik dusun buah-buahan, Tey Chee Yan kelihatan tidak terkesan dengan cuaca sebegitu panas, malah beliau mengalu-alukannya. Cuaca panas terbaik untuk pokok-pokok durian yang ditanamnya.
Semasa FMT Lifestyle melawat Happy Fruit Tangkak, Tey sangat teruja menunjukkan hasil titik peluhnya.
Kira-kira 30 pokok durian ditanam di tanah seluas lebih 7 hektar ini, setiap satu berbuah lebat pada tahun ini.
Jaring besar dipasang dari pokok ke pokok untuk melindungi pekerja daripada buah durian yang jatuh, selain memudahkan kerja mengutipnya.
“(Pokok-pokok) ini ditanam 30 tahun lepas,” katanya bangga.
“Pada masa itu, Musang King belum wujud.”

Durian Musang King inovasi yang agak baharu di pasaran, manakala pokok durian yang ditanam Tey terdiri daripada jenis D2, D24, D13, D101, Udang Merah, dan Golden Phoenix.
Durian Golden Phoenix? “Ia eksklusif di Tangkak! Tak boleh jumpa di tempat lain!” beritahu Tey dengan teruja.
Beliau menerangkan bagaimana durian mendapat kod masing-masing, yang sebenarnya ialah nombor pendaftaran varian tertentu. Kod “D” hanya bererti “durian”, manakala angkanya ditentukan oleh Jabatan Pertanian.
Apakah perbezaan antara durian-durian ini? “D2 (teksturnya) lembap, seperti mentega, dan rasanya sedikit pahit.”
D24 varian yang sangat popular, manakala D13 – juga popular – serupa D200 atau Black Thorn.
“Anda boleh mengenali D101 daripada saiznya,” jelas Tey.
“Bijinya kecil, isinya banyak. Rasanya manis dan sangat berkrim. Ramai orang Hong Kong suka makan durian jenis ini.”

Bagaimanapun, tidak banyak yang dapat dikatakan oleh Tey tentang durian jenis D88, yang bersaiz kecil. “(Durian jenis ini) sangat lazim, tidak begitu popular,” katanya.
Namun, jenis durian itu masih ada peminatnya, kerana “88” nombor bertuah bagi segelintir orang Cina. Satu fakta menarik, bagi penutur bahasa Hokkien, kod D88 cenderung mencetuskan rasa geli hati kerana mempunyai konotasi yang kurang manis.
Udang Merah pula mempunyai nama yang lebih sedap, diilhamkan daripada isi yang berwarna perang, dan kelihatan kemerah-merahan dalam cahaya tertentu. “Orang Pulau Pinang suka durian ini!” beritahu Teh.
Akhir sekali, Golden Phoenix. “(Buahnya) bulat dan ia tidak terlalu besar,” kata Teh.
“(Rasa) isinya berkrim dan pahit manis. Penduduk tempatan menyukainya, mungkin kerana ia tidak begitu mahal.”
Walaupun Tey bukan satu-satunya pengusaha durian di Johor, beliau pastinya antara yang prolifik. Lelaki berusia 65 tahun itu juga pemilik Hab Agropelancongan Durian Tangkak, yang menarik ramai peminat dari Singapura, malah sejauh Hong Kong.

Bukan suatu kebetulan Tangkak mempunyai banyak dusun durian. Seperti yang dijelaskan oleh Tey: “Durian paling elok ditanam di kawasan berbukit. Pokoknya tumbuh lebih baik dalam cuaca panas sebegini.”
Sebelum ini, durian akan mula berbuah pada pertengahan tahun, khususnya pada Jun, Julai dan Ogos. Namun kini, durian “berbuah sepanjang tahun”.
Sebatang pokok durian mengambil masa sehingga lapan tahun untuk menjadi dewasa, dan hanya mencapai kemuncaknya apabila berusia 15 tahun. Bagaimanapun, apabila mencapai usia 30 tahun, buahnya akan menjadi pahit dan “bergas”, menjadikannya rasanya seperti diperam.
Akhir sekali, Tey berpesan: “Jangan sesekali makan durian bersama alkohol atau minuman berkarbonat. Makan manggis untuk menyejukkan badan, dan minum air kelapa atau teh hijau untuk mengimbanginya.”
Tangkak Durian Agrotourism Hub
Tiara Light Industry,
84900 Tangkak,
Johor Darul Takzim
Hubungi: 019-449 8833

Durian Tourism 2023
Terliur dengan durian daripada dusun Tey? Tourism Malaysia kini menawarkan pakej Durian Tourism untuk dinikmati!
Seramai 15 pengusaha tempatan bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) menawarkan 30 pakej menarik yang termasuk bufet durian di seluruh Semenanjung, semurah RM50 setiap seorang untuk bufet!
Antara pakej yang lebih mewah termasuk pakej tiga hari dua malam dengan harga RM1,740 setiap seorang.

Anda juga boleh menempah tawaran lebih istimewa Pakej Durian Escapade 3 Hari 2 Malam, berharga RM560, yang termasuk lawatan dan penginapan di Raub, Pahang!
Jangan berlengah kerana promosi akan tamat pada 31 Ogos. Tempah pakej anda hari ini dan bersedialah untuk makan durian sepuas-puasnya sambil menikmati pengalaman pelancongan yang hebat.
Tempah Tawaran Istimewa & Pakej Durian Tourism Malaysia di sini.
Artikel ini sebahagian daripada lawatan agropelancongan Johor yang dianjurkan oleh Tourism Malaysia.
