
Dalam catatan ringkas di Facebook, Nik Abduh mengumumkan beliau akan “berpuasa” daripada politik bagi tempoh yang tidak didedahkan.
“(Tempoh) ini paling sukar untuk saya dan bonda. Semoga PAS bertambah gagah dengan kepimpinan terbaik untuk memacu masa depan negara,” kata anak bekas mursyidul am PAS Nik Aziz Nik Mat itu.
Awal hari ini, pemerhati politik Sayuti Omar berkata, Nik Abduh harus segera mengatur hala tujunya termasuk mempertimbangkan menyertai Umno atau PKR selepas dua kali “terlepas” menjadi calon PAS.
Selain tidak dipertimbangkan menjadi calon pada PRN Kelantan, di mana bapanya menjadi menteri besar selama lebih dua dekad, Nik Abduh sebelum ini turut digugurkan oleh PAS daripada mempertahankan kerusi Parlimen Bachok pada PRU15.
Sayuti berkata, bintang Nik Abduh dilihat semakin pudar dalam PAS dan beliau berisiko diketepikan secara kekal.
Pada Sabtu, bapa saudara Nik Abduh, Nik Din, mendakwa bekas Ahli Parlimen itu sepatutnya menjadi calon pada PRN Kelantan tetapi diketepikan oleh Naib Presiden PAS Nik Amar Nik Abdullah, yang juga timbalan menteri besar.
Dalam responsnya semalam, Amar menafikan dakwaan itu dengan berkata, nama Nik Abduh tidak pernah tersenarai sebagai calon berpotensi bagi kerusi DUN Chempaka.
Pada 11 Julai, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin dilaporkan berkata, PAS Kelantan mencadangkan Nik Abduh sebagai calon PRN.
Nik Abduh sejak itu memaklumkan beliau menerima dengan hati terbuka apabila tidak tersenarai sebagai calon PAS untuk PRN.
Sebelum ini timbul spekulasi beliau mungkin menyertai Pakatan Harapan (PH) selepas bertemu Pengerusi PH Anwar Ibrahim, yang juga presiden PKR. Bagaimanapun, menurut Nik Abduh, pertemuan itu tiada kaitan dengan politik.