
Ketua Polis Perak Yusri Hassan Basri berkata mangsa berusia 70 tahun membuat laporan polis di IPD Hilir Perak pada 4.34 petang semalam.
Katanya, siasatan awal menunjukkan mangsa berhubung dengan pemilik Facebook Najwan Islamic beralamat di Singapura yang menawarkan perkhidmatan pembelian saham kripto di Amerika Syarikat pada 8 Jan lalu.
“Pada 9 Jan lalu, mangsa memulakan pelaburan saham mata wang kripto berkenaan dengan membeli dua unit saham bernilai RM500 dan mangsa memasukkan wang itu ke dalam satu akaun bank tempatan.
“Suspek menyatakan mangsa akan mendapat wang pelaburan semula sebanyak RM4,950, iaitu untung sebanyak RM4,500 dalam tempoh satu hari pada hari sama,” katanya menurut Harian Metro.
Yusri berkata, suspek juga dimaklumkan keuntungan pelaburan semakin meningkat dari semasa ke semasa, jika tidak mengeluarkan wang itu.
Katanya, mangsa dihubungi suspek semula pada 10 Jan untuk bertanya tentang wang pelaburan dan dimaklumkan keuntungan sudah mencecah RM18,500.
Tetapi, beliau berkata, mangsa diminta membuat pelbagai bayaran kepada suspek bagi mendapatkan semua hasil pelaburannya.
Justeru, dari Januari hingga bulan ini, mangsa membuat 133 transaksi pindahan wang dalam talian ke 39 akaun bank tempatan membabitkan kerugian berjumlah RM542,171.20.
Dalam tempoh itu, katanya, pasangan itu tidak menerima sebarang bayaran daripada hasil pelaburan, iaitu simpanan dan wang persaraan mereka.
“Mangsa meminta dipulangkan semula wang, tetapi suspek memberi pelbagai alasan dan tidak lagi membalas mesej melalui aplikasi WhatsApp. Mangsa yang berasa tertipu ke balai polis membuat laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.”