Jangan terpengaruh retorik kosong PN, pesan Bung kepada belia

Jangan terpengaruh retorik kosong PN, pesan Bung kepada belia

Membentuk kerajaan baharu bukanlah tugas yang mudah, kata ketua BN Sabah itu.

Bung Moktar Radin berkata golongan belia harus memberikan kepercayaan kepada Anwar Ibrahim untuk memimpin negara kerana dasar ekonominya ‘berjangka panjang dan sederhana’. (Gambar Facebook)
GOMBAK:
Ketua Barisan Nasional (BN) Sabah Bung Moktar Radin menggesa golongan belia agar tidak terpengaruh dengan retorik Perikatan Nasional (PN) mengenai prestasi kerajaan.

“Jika seorang ahli politik Islam memfitnah untuk menang, saya rasa pemimpin itu sesat,” kata Bung pada ceramah di Sungai Tua malam tadi.

“Memang mudah untuk tukar kerajaan, tetapi bukan mudah bentuk kerajaan baharu.”

Tiada parti atau gabungan mendapat mandat yang jelas untuk mentadbir negara selepas PRU15 tahun lepas.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, pada mulanya meminta Pakatan Harapan (PH) dan PN membentuk kerajaan perpaduan, tetapi Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata, beliau menolak cadangan itu kerana PN tidak dapat bekerjasama dengan gabungan pimpinan Anwar Ibrahim.

PH dan BN, serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kemudian bersetuju membentuk kerajaan perpaduan persekutuan.

Bung berkata, golongan belia harus memberikan kepercayaan kepada Anwar untuk memimpin negara kerana dasar ekonominya “berjangka panjang dan sederhana”.

Khamis lepas, Anwar mendedahkan naratif ekonomi Madani yang mahu meletakkan negara sebagai destinasi pelaburan yang menarik, sambil mempromosikan kegiatan ekonomi yang mempunyai kesan pengganda besar.

Bung, Ahli Parlimen Kinabatangan, juga berkata, PN mahu menawan Selangor kerana negeri itu terkaya dan ditadbir paling baik.

“Selain menyumbang 25% keluaran dalam negara kasar (KDNK), Selangor menarik kira-kira 160,000 penduduk negeri lain untuk bekerja di sini,” katanya.

“Tetapi kita boleh tengok bagaimana Kedah, Terengganu dan Kelantan pimpinan PN malah tidak mampu membayar gaji (penjawat awam) tanpa peruntukan kerajaan persekutuan.”

Beliau berkata, golongan belia tidak seharusnya mengambil kesempatan atas kerajaan perpaduan kerana ini kali pertama PKR dan Umno mengetepikan perbezaan mereka demi pembangunan negara.

“Jika kita terus bertelingkah antara satu sama lain, rakyat yang akan menanggung akibatnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.