Bibi mahu guna pengaruh Isa, Najib tak mahu ‘dibayangi’ ayah

Bibi mahu guna pengaruh Isa, Najib tak mahu ‘dibayangi’ ayah

Najib Isa percaya pengalaman politik sejak 2004 mampu membantunya menang di DUN Bagan Pinang.

Najib Isa dan Bibi Sharliza Mohd Khalid membawa cabaran Barisan Nasional (BN) pada PRN Negeri Sembilan.
SEREMBAN:
PRN Negeri Sembilan kali ini diwarnakan dengan pembabitan isteri dan anak kepada Isa Samad yang menjadi calon Barisan Nasional (BN) di DUN Juasseh dan Bagan Pinang.

Bibi Sharliza Mohd Khalid yang pernah menjadi Adun Paroi dari 2004 hingga 2008, teruja dapat kembali ke pentas pilihan raya sebagai calon dan mahu memanfaatkan pengaruhnya suaminya sebagai menteri besar Negeri Sembilan selama 22 tahun.

“Saya rasa orang-orang Negeri Sembilan masih mengingati lagi jasa beliau sebagai menteri besar Negeri Sembilan,” kata calon BN DUN Juasseh itu dalam satu temubual bersama FMT.

Menurut Sharliza, beliau tidak pernah hilang dari radar politik tanah air selepas tidak bergelar wakil rakyat, tetapi aktif sebagai ketua wanita cawangan Dataran Senawang dari 2012 hingga 2018.

“Saya juga aktif membuat kerja-kerja seperti PRN, PRK dan turun padang membantu Umno,” katanya yang berdepan bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah Eddin Shazlee Shith daripada Perikatan Nasional (PN) di kerusi panas itu.

Namun berbeza dengan Najib yang tidak mahu dibayangi legasi ayahnya di Darul Khusus, timbalan ketua Umno Port Dickson itu percaya pengalaman politik serta khidmatnya dari 2004 mampu membantunya di Bagan Pinang.

“Sebenarnya (nak) dibawa adalah legasi, tradisi dan khidmat Umno itu sendiri kepada rakyat. Pemimpin datang dan pergi tetapi paling penting perjuangan parti mesti diteruskan,” katanya.

Najib bagaimanapun mengakui status ayahnya sebagai bekas menteri besar sedikit sebanyak membantunya.

Beliau juga melihat statusnya dan ibunya sebagai insan terdekat dengan Isa bukan penghalang bagi mereka bertanding pada PRN yang mungkin dipersoalkan segelintir pihak.

“Kenapa tak boleh ke (bertanding). Saya ada perjalanan politik saya…ibu saya (Bibi) pun ada perjalanan politik sendiri,” katanya yang berdepan calon PN Fattah Zakaria di DUN Bagan Pinang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.