10,000 calon daftar ulang SPM 2022, kata menteri

10,000 calon daftar ulang SPM 2022, kata menteri

Fadhlina Sidek berkata ia susulan keputusan Kementerian Pendidikan yang melanjutkan tempoh pendaftaran SPM 2023 bagi calon persendirian.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata 10,000 calon itu akan menduduki semula peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia sebagai calon persendirian. (Gambar Bernama)
SUNGAI PETANI:
Seramai 10,000 daripada hampir 30,000 calon yang tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 telah mendaftar untuk ulangan peperiksaan itu pada tahun ini.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata ia merupakan komitmen kementeriannya yang melanjutkan tempoh pendaftaran SPM 2023 bagi calon persendirian sehingga berjaya merekodkan pendaftaran daripada 10,000 calon itu untuk mereka menduduki peperiksaan itu demi masa depan masing-masing.

“Semasa kita ambil keputusan untuk maklumkan keciciran atau ketidakhadiran pelajar SPM yang lepas, kita dapat mengumpulkan data seramai lebih kurang (hampir) 30,000 orang.

“Komitmen kita ialah melakukan intervensi terhadap 30,000 ini ke mana mereka, kenapa tak hadir, alasan dan sebagainya. Alhamdulillah, kita dapat kenal pasti, apabila kita buat program dan membuka lanjutan tempoh untuk mendaftar ulangan SPM,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program YES! Rock The School Edisi Mega Kedah 2023 di Universiti Aimst yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia V Sivakumar.

Pada 20 Jun lepas, media melaporkan 30,000 calon SPM 2022 yang tidak menghadiri peperiksaan itu menerima peluang kedua apabila Kementerian Pendidikan melanjutkan tarikh pendaftaran peperiksaan SPM 2023 bagi calon persendirian hingga 30 Jun.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum itu dilaporkan memandang serius terhadap laporan hampir 30,000 pelajar tidak menduduki SPM dan mengarahkan Fadhlina meneliti terperinci isu itu supaya ia tidak berulang pada tahun-tahun akan datang.

Fadhlina berkata pihaknya kini memberikan perhatian terhadap kira-kira 20,000 orang lagi yang tidak mendaftar untuk mengulang peperiksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.