‘Krisis rumah tangga’ calon tak jejas sokongan, kata pemimpin PN

‘Krisis rumah tangga’ calon tak jejas sokongan, kata pemimpin PN

Pengerusi PN Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar yakin pengundi bijak menilai sama ada ia benar atau sekadar tohmahan demi kepentingan tertentu.

Pengerusi PN Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ‘masalah keluarga’ dihadapi calon tidak memberi kesan pada pengundi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar berkata krisis rumah tangga yang didakwa dihadapi calon gabungan itu daripada PAS tidak menjejaskan sokongan pengundi pada PRN dan PRK 12 Ogos ini.

Beliau yakin pengundi semakin bijak menilai maklumat diterima sama ada ia benar atau sekadar tohmahan demi kepentingan tertentu.

“Mana satu masalah keluarga, mana satu isu sebenar dan isu pokok dalam satu-satu pilihan raya. Pada kami ia tidak memberi kesan pada pengundi,” katanya menurut Sinar Harian.

Sebelum ini, seorang calon PAS didakwa berdepan masalah rumah tangga selepas berkahwin dengan wanita di negara jiran tahun lalu.

Ia didedahkan sendiri wanita yang mendakwa isteri kepada calon berkenaan kepada media.

Wanita itu yang merupakan kontraktor mendakwa dia digantung tidak bertali oleh suaminya yang juga salah seorang calon kerusi DUN sebuah parti politik pada PRN kali ini.

Dakwa wanita itu, suaminya berusia lewat 40-an mendiamkan diri selepas perkahwinan mereka di negara jiran diketahui isteri pertama lelaki berkenaan pada Oktober tahun lalu.

Sementara itu, ahli politik berkenaan ketika ditemui pemberita selepas penamaan calon hanya menjawab ringkas: “Insya-Allah, kita akan mengambil tindakan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.