Budak 10 tahun hilang di Teluk Senangin

Budak 10 tahun hilang di Teluk Senangin

Bomba berkata kanak-kanak lelaki itu disedari hilang oleh ahli keluarganya ketika beriadah di pantai.

Bomba berkata pihaknya mengambil kira sebarang kemungkinan termasuk kanak-kanak itu berjalan masuk ke hutan berhampiran pantai tersebut. (Gambar JBPM)
IPOH:
Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dilaporkan hilang di kawasan Pantai Teluk Senangin, Lumut, ketika beriadah bersama ahli keluarganya.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian itu pada 3.19 petang.

Beliau berkata, ahli keluarga kanak-kanak itu membuat laporan polis apabila menyedari mangsa hilang kira-kira 1 tengah hari.

Katanya, bomba melakukan operasi pencarian di sekitar kawasan pantai pada 3.30 petang.

“Keluarga buat laporan polis bahawa mangsa hilang di tepi pantai. Berdasarkan maklumat pengunjung, mereka tak nampak ada kanak-kanak tenggelam atau lemas.

“Kita ambil kira juga sebarang kemungkinan sama ada dia (mangsa) berjalan ke tepi hutan dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Sabarodzi, operasi pencarian dihentikan pada 6.30 petang tadi dan akan bersambung 8 pagi esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.