Tanding PRN: Hasnal tak layan desakan undur jawatan pesuruhjaya Suhakam

Tanding PRN: Hasnal tak layan desakan undur jawatan pesuruhjaya Suhakam

Hasnal Rezua Merican Habib Merican minta pengkritiknya melihat sama ada isu hak asasi manusia dikompromi kerana jawatan politiknya.

Hasnal Rezua Merican Habib Merican berkata beliau mungkin lepas jawatan pesuruhjaya Suhakam sekiranya menang PRN.
PETALING JAYA:
Calon Barisan Nasional (BN) DUN Kuang Hasnal Rezua Merican Habib Merican menegaskan tiada keperluan untuknya melepaskan jawatan pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) seperti didesak pelbagai pihak.

Hasnal mempersoalkan desakan itu yang dibuat berdasarkan andaian kononnya bakal ada campur tangan politik, sambil meminta pengkritiknya melihat rekodnya bertugas sejak memegang jawatan berkenaan untuk sesi 2022-2025, bermula Julai lalu.

“Di mana isu hak asasi manusia dikompromi kerana jawatan politik saya (ketua Umno Selayang)? Sepatutnya sudah ada bukti sekarang sebab telah ada rekod saya selama setahun,” katanya kepada FMT.

Tegasnya, perkara itu diperbesarkan sejak pelantikannya dahulu dan pihak terbabit perlu melihat Seksyen 5 (3) Akta Suhakam 1999 yang menyebut anggota suruhanjaya hendaklah dalam kalangan seseorang dari latar belakang agama, politik dan berpengalaman dalam isu melibatkan hak asasi manusia.

“Saya bukan ahli politik sepenuh masa, sebaliknya peguam cara dan peguam bela selama 30 tahun…saya ada pengalaman luas dalam hak asasi manusia.

“Kenapa anda rasakan saya dipilih sebab ahli politik? Kenapa rasa saya tak layak duduk di situ sebagai peguam bela yang mengamalkan selama 30 tahun dalam undang-undang jenayah serta buruh?,” soalnya.

“Jangan kita mengecualikan orang yang layak hanya kerana kita rasa Suhakam ini sepatutnya berfungsi dalam cara kamu bayangkan sahaja.”

Ogos lalu, Pesuruhjaya Suhakam Ragunath Kesavan ketika mengulas pelantikan Hasnal ke jawatan sama menjelaskan tiada halangan mana-mana individu mempunyai kaitan politik menyertai suruhanjaya itu.

Baru-baru ini, pelbagai pihak termasuk bekas pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph menggesa Hasnal meletak jawatan untuk memastikan pejabat itu dilihat bebas dengan politik susulan pengumumannya sebagai calon BN di DUN Kuang.

Bagaimanapun, Hasnal berkata beliau akan melepaskan jawatan itu sekiranya menang PRN kerana komitmen baharunya itu mungkin menyebabkan tidak dapat memberi tumpuan kepada amalan guaman dan tugas pesuruhjaya.

Menurutnya, jika itu berlaku beliau harus melakukannya secara teratur dengan mengemukakan surat perletakan jawatan kepada kerajaan dan memohon perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.