Selangor progresif, Muda ‘ada peluang’, kata Dobby Chew

Selangor progresif, Muda ‘ada peluang’, kata Dobby Chew

Calon Muda di Seri Setia itu menyifatkan pengundi Selangor lebih cenderung menyokong parti itu disebabkan struktur terbukanya yang unik.

Calon Muda di Seri Setia, Dobby Chew percaya parti itu mampu berjaya di negeri maju dan progresif seperti Selangor.
PETALING JAYA:
Calon Muda di Seri Setia, Dobby Chew percaya parti itu mampu berjaya di negeri maju dan progresif seperti Selangor.

Katanya, pengundi di Selangor lebih cenderung menyokong Muda berbanding parti lain disebabkan struktur terbukanya yang unik.

“Dalam parti lain, jika berusia muda, anda dimasukkan ke sayap Pemuda, jika anda wanita pula ke sayap Wanita. Jadi, anda perlu bertanding sesama ahli parti sendiri sebelum berpeluang memimpin atau mengarahkan dasar,” katanya dalam wawancara bersama FMT.

Bagaimanapun, katanya Muda mesti bertindak pantas mempengaruhi pengundi demi kepentingannya dan negara.

“Jika tidak mampu berjaya di kerusi seperti ini, ia tidak kelihatan baik untuk Muda secara am.

“Namun, lebih teruk untuk Malaysia kerana ia bererti rakyat masih sanggup mengundi Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) buta-buta kerana menganggap itu pilihan lebih baik,” katanya.

Beliau turut menolak pandangan calon Muda akan memberi kesan langsung kepada peluang PH untuk menang.

“Sekalipun undi dipecahkan dengan signifikan, kemungkinan hasilnya tetap PH menang atau Muda menang, bukannya kemenangan PN.

“Saya menjangkakan PN mungkin dapat paling banyak kira-kira 25% (undi) dan selebihnya terbahagi antara Muda atau PH.”

Seri Setia kerusi campuran dalam kawasan Parlimen Petaling Jaya, yang dikuasai PKR selama tiga penggal berturut-turut. Tetapi, penyandangnya Halimey Abu Bakar tidak akan mempertahankan kerusi itu.

Sebaliknya, PKR menamakan Fahmi Ngah, pengarah di Institut Penyelidikan Selangor sebagai calon Seri Setia.

Berhubung perancangannya berkempen, Chew berkata, beliau akan mendekati pengundi di Seri Setia untuk lebih memahami keperluan masyarakat yang kebanyakannya daripada golongan pekerja.

Jika menang, katanya, beliau akan memindahkan pusat khidmat kawasan itu dari lokasi sedia ada di Kelana Jaya ke Sunway Mentari supaya lebih mudah didekati orang ramai, khususnya masyarakat kurang berkemampuan.

“Kami mahu berada di situ kerana di situ boleh lebih rapat dengan masyarakat dan mereka mempunyai akses kepada kami. Jika mereka menganggap Muda tidak membuat kerja baik, ketuklah pintu kami,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.