Rayuan cabar kemenangan PKR di Segamat didengar 1 Ogos

Rayuan cabar kemenangan PKR di Segamat didengar 1 Ogos

Mahkamah Persekutuan menetapkan tarikh itu kerana peguam Shafee Abdullah tidak sihat.

Calon BN, M Ramasamy (kiri) mencabar kemenangan R Yuneswaran daripada PH di Parlimen Segamat pada PRU15 November lalu.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan menangguhkan ke 1 Ogos untuk mendengar rayuan calon Barisan Nasional (BN), M Ramasamy mencabar keputusan PRU15 Parlimen Segamat setelah peguam Shafee Abdullah tidak sihat.

Panel tiga hakim diketuai Zabariah Mohd Yusof membenarkan permohonan penangguhan oleh peguam Sarah Maalini Abishegam yang memberitahu mahkamah, Shafee mengalami vertigo serta migrain teruk dan kini bercuti sakit.

Zabariah, yang bersidang bersama Hasnah Mohammed Hashim dan Mary Lim Thiam Suan, berkata rayuan itu akan didengar pada 1 Ogos secara fizikal.

Terdahulu, menerusi prosiding dalam talian hari ini, Sarah memberitahu mahkamah, Shafee yang merupakan peguam utama kes itu dinasihatkan mengurangkan pergerakan bagi mengelakkannya terjatuh.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan mewakili pegawai pengurus pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), manakala peguam Lau Yi Leong yang mewakili Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran tidak membantah penangguhan itu.

Pada PRU15 November lalu, calon Pakatan Harapan, Yuneswaran memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,669 undi dan diisytiharkan Ahli Parlimen kawasan itu mengalahkan Ramasamy dari BN, P Poobalan daripada Perikatan Nasional dan Syed Hairoul Faizey daripada Pejuang.

Ramasamy kemudiannya memfailkan petisyen pilihan raya, antara lain memohon pengisytiharan pilihan raya Parlimen Segamat terbatal dan Yuneswaran tidak dipilih sebagai Ahli Parlimen.

Beliau menamakan Yuneswaran, pegawai pengurus pilihan raya dan SPR sebagai responden.

Pada 3 April lalu, Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen Ramasamy selepas menerima bantahan awal responden.

Bantahan awal responden termasuk Ramasamy gagal mematuhi Peraturan 15(4) Kaedah-kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954 berkaitan afidavitnya dan Peraturan Petisyen Pilihan Raya berhubung fakta merayu dalam petisyennya yang tidak mampu mengekalkan perisytiharan dimohon.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.