Laluan di Lebuhraya Karak dibuka semula

Laluan di Lebuhraya Karak dibuka semula

Laluan KM66.1 lebuhraya itu ditutup sebelum ini ekoran kejadian tanah mendap pada malam Selasa lalu.

Menurut Anih Berhad, pembukaan semula sepenuhnya laluan itu dibuat selepas langkah komprehensif diambil pihaknya. (Gambar Facebook JKR)
KUANTAN:
Pemegang konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak Anih Berhad mengumumkan pembukaan semula laluan KM66.1 lebuh raya itu yang ditutup sebelum ini ekoran kejadian tanah mendap yang berlaku pada malam Selasa lepas.

Anih Berhad menerusi kenyataan, hari ini memaklumkan pembukaan semula sepenuhnya laluan itu dibuat selepas langkah komprehensif diambil dan usaha penilaian sewajarnya telah dilaksanakan.

“Kerja baik pulih segera membolehkan laluan arah Timur dibuka semula pada lewat tengah malam Rabu, manakala laluan kontra diaktifkan pada 10 pagi semalam bagi laluan ke Kuala Lumpur,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, syarikat terbabit komited untuk mengekalkan standard keselamatan tertinggi dan pemantauan berterusan keadaan jalan raya selain sentiasa memberi perhatian terhadap keselamatan dan kesejahteraan semua pengguna jalan raya.

Anih Berhad memaklumkan semua pihak berkaitan termasuk polis, bomba dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) selaku pemilik projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah membuat penilaian segera serta mengambil tindakan pemulihan segera dengan kelulusan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), selepas kejadian itu berlaku.

Tanah mendap seluas 9.5 meter lebar kali 10 meter panjang kali 4.3 meter yang berlaku pada malam Selasa, dipercayai berpunca daripada kerja pembinaan terowong laluan ECRL di kawasan itu.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan MRL memaklumkan pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi menyiasat punca kejadian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.