
Dalam kenyataan Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ikmalrudin Ishak, berkata langkah itu bagi melancarkan proses penamaan calon PRN di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu serta PRK Kuala Terengganu ditetapkan pada 29 Julai ini.
Selain itu, bakal calon juga disaran membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada hari penamaan sebagai bukti pembayaran.
“Bagi bakal-bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan untuk mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan kertas penamaan calon,” katanya.
Beliau berkata, kertas penamaan boleh diserahkan dari 9 pagi hingga 10 pagi kepada pegawai pengurus di 173 pusat penamaan calon (PPC) oleh calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana dua orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka.
Pada hari penamaan itu, setiap bakal calon hanya boleh diiringi seorang pencadang dan penyokong untuk masuk ke PPC.
Selain itu, penggunaan semua jenis alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan apa jua jenis kenderaan adalah tidak dibenarkan pada hari berkenaan dan ia adalah satu kesalahan bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Orang awam serta penyokong-penyokong yang mengiringi calon dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50m dari sempadan PPC yang ditetapkan.
“Calon-calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya sebagaimana diperuntukkan bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, juga tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang/simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan/komponen secara bersama atau berasingan yang diwakilinya,” katanya.
SPR menasihati bakal calon dan parti politik terlibat sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan dikeluarkan oleh SPR, polis dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan proses penamaan calon berjalan dengan baik dan lancar.
SPR menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan serta PRK Parlimen Kuala Terengganu diadakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.