Runtuhan terowong tak jejas kemajuan ECRL, kata menteri

Runtuhan terowong tak jejas kemajuan ECRL, kata menteri

Runtuhan terowong 2 ECRL yang berada 13m bawah Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak mendap sudah dibaik pulih.

Mendapan tanah di KM66.1 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak kelmarin berpunca daripada pembinaan terowong ECRL. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Kemajuan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak terjejas dengan runtuhan terowong bawah tanah di sekitar Bentong, Pahang baru-baru ini, kata Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.

Katanya, runtuhan terowong 2 ECRL yang berada 13m bawah Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) mendap sudah dibaik pulih.

“Saya sudah arahkan MRL (Malaysia Rail Link Sdn Bhd) mengeluarkan kenyataan,” katanya menurut Berita Harian selepas majlis peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasakan Rakyat di ibu negara.

Mendapan tanah dekat Plaza Tol Bentong menyebabkan kedua-dua arah di KM66.1 KLK ditutup kelmarin. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu. Laluan arah timur dibuka semula pagi tadi.

Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata, mendapan tanah seluas 9.5m lebar x 10m panjang x 4.3m itu dikenal pasti berpunca daripada pembinaan terowong ECRL.

Kontraktor segera menimbus mendapan itu menggunakan konkrit dan disusuli turapan jalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.